Peserta alami kerugian, SPRM digesa siasat projek Sejati Madani di T'ganu
- Helmi Mohd Foad

- 3 minutes ago
- 2 min read

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan peruntukan program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) disalahgunakan oleh individu berkedudukan dalam politik di sebuah negeri Pantai Timur, demikian kata seorang pemimpin kanan AMANAH.
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Raja Kamarul Bahrin Shah (gambar) mendakwa beliau menerima beberapa aduan berkaitan projek tersebut di Terengganu yang telah diseleweng melalui perbuatan pecah amanah pihak terbabit.
"Projek tersebut untuk membantu golongan bawahan yang perlu pertolongan tetapi telah diambil kesempatan rakan parti sendiri yang menggunakan kedudukan dan pengaruh politik menyalurkan wang kepada firma sendiri hingga projek tersebut gagal.
"Aduan pada pihak atasan tidak berhasil tanpa pembelaan sepatutnya sehingga mangsa-mangsa terpaksa membuat aduan kepada SPRM dan laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Raja Kamarul Baharin berkata mangsa sedang menimbang untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah memandangkan tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
Sejati Madani diperkenalkan kerajaan pada Mac 2024 dengan menyediakan peruntukan sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak bagi menjalankan aktiviti meningkatkan pembangunan sosioekonomi tempatan.
Ia melibatkan aktiviti pertanian, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan serta hospitaliti selain aktiviti berkaitan alam sekitar.
Menjelaskan mengenai modus operandi pihak terbabit, Raja Kamarul Bahrin mendakwa individu tersebut merupakan ahli parti politik yang menyalahgunakan dana tersebut dengan menyalurkannya kepada akaun persendirian dalam tempoh singkat.
"Wang peruntukan sebanyak 97% telah disalurkan ke akaun bank individu persendirian dalam satu malam melalui tiga keping cek dan ada juga kes dalam tempoh tiga hari melalui tiga cek kepada syarikat individu yang sama.
"Modus operandi licik dan firma yang sama di gunakan oleh individu-individu sama," katanya.
Tegas Raja Kamarul Baharin, SPRM perlu bertindak dalam kes projek Sejati Madani tersebut penyalahgunaan oleh individu berpengaruh telah menyebabkan peserta program berkenaan mengalami kerugian kerana terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri untuk membeli tanaman dan baja.
"Rakyat kelihatan amat kecewa dengan pengendalian kes-kes tertentu rasuah kebelakangan ini yang dibuat aduan kepada SPRM.
"Tidak patut kes penganiayaan peserta-peserta projek murni Sejati Madani oleh kerajaan bagi menolong mereka yang susah diseleweng oleh mereka yang berkedudukan.
"Mereka yang berada dan berkuasa menindas dan mengambil hak yang lemah dan perlu bantuan dari Kerajaan. Pepatah Melayu berkata harapkan pegar, pegar makan padi," katanya lagi.




Comments