Selangor rangka strategi bantu usahawan wanita depani krisis Asia Barat
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Pelbagai strategi dirangka Kerajaan Negeri Selangor bagi membantu 45,993 usahawan wanita berdaftar di negeri ini berdepan kesan krisis Asia Barat.
Exco Pembangunan Wanita negeri, Anfaal Saari (gambar) berkata, lima resolusi dicapai menerusi perbincangan meja bulat kedua (RTD) bertemakan “Krisis Asia Barat: Impak Terhadap Usahawan dan Pemerkasaan Ekonomi Wanita” di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
"Kisis geopolitik itu berada di luar kawalan, justeru peniaga wanita perlu bersedia dengan ilmu dan pengetahuan bagi menghadapi cabaran semasa.
"Antaranya termasuk pendigitalan pintar melalui penguasaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kapasiti operasi serta kecekapan kos perniagaan wanita.
"Penilaian impak secara berkala melalui ‘rapid needs assessment’ juga perlu dilaksanakan bagi memantau kesan krisis secara langsung," katanya dipetik dalam sidang media selepas Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.
mengulas mengenai resolusi dicapai dalam perbincangan tersebut Anfaal menjelaskan, ia antara lain menekankan peralihan daripada ekonomi subsidi kepada ekonomi mampan dan berdaya tahan, dengan fokus kepada pemantapan kapasiti serta meningkatkan kemampanan perniagaan yang diterajui wanita
Selain itu ia turut mencadangkan pewujudan portal usahawan berpusat sebagai pusat data dan akses maklumat sehenti bagi menyelaras bantuan serta mengurangkan birokrasi.
"Amalan kerja mesra keluarga juga diperkasa termasuk dasar kerja fleksibel dan sokongan penjagaan keluarga bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam ekonomi.
"Perbincangan itu turut menyentuh cabaran usahawan wanita termasuk akses pembiayaan, pasaran bernilai tinggi dan jurang digital selain kerjasama rentas agensi dalam latihan, pembiayaan dan inovasi perlu diperkukuh bagi memastikan daya tahan ekonomi yang mampan," tambahnya.
Sehubungan itu menurutnya, semua cadangan dikemukakan akan dijadikan rujukan kerajaan negeri dalam merangka dasar lebih komprehensif dan berimpak tinggi khususnya bagi memperkasa keusahawanan wanita dan belia.




Comments