top of page

RM159,000 sumbangan Ihya Ramadan untuk 60 masjid, surau

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 2 min read
David bersama DS Dr Wan Azizah memegang mock up peruntukan untuk masjid dan surau di Kajang
David bersama DS Dr Wan Azizah memegang mock up peruntukan untuk masjid dan surau di Kajang

Sebanyak RM159,000 sumbangan Ihya Ramadan disalurkan kepada hampir 60 buah masjid dan surau di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, antaranya Masjid Saujana Impian, Masjid Jamek Kajang, Masjid Sungai Sekamat, Masjid Bandar Teknologi dan Masjid Taman Rakan.


Selain itu, menurut satu kenyataan, sumbangan bakul makanan dan duit raya juga diagihkan kepada 100 orang asnaf dari sekitar DUN berkenaan bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan sebagai persediaan untuk berbuka puasa dalam bulan Ramadan ini.


"Program Bubur Lambuk Perdana Sempena Ihya Ramadan 2026, anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kajang dan Masjid Saujana Impian Kajang, telah berlangsung dengan jayanya pada 8 Mac lalu.


"Program ini sangat istimewa kerana penglibatan dari lima Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Tradisi dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Kajang yang terdiri daripada pelbagai kaum berganding bahu menyediakan bubur lambuk.


"Inisiatif ini bukan sahaja memelihara tradisi, malah menzahirkan semangat kerjasama, perpaduan, dan jalinan kasih komuniti yang unik," kata kenyataan itu.


Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut dihadiri ADN Kajang, David Cheong Kian Young.


Dalam ucapannya, Wan Azizah menekankan bahawa bulan Ramadan merupakan masa terbaik untuk memperbaiki diri, memperkukuh hubungan dengan Allah dan meningkatkan amalan ibadah.


Beliau turut mengingatkan kepentingan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.


Sementara itu, David dalam ucapannya pula menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha kerajaan menyelesaikan isu jemaah umrah yang terkandas di Jeddah.


Beliau juga menyeru masyarakat agar mendoakan keamanan di Iran dan Timur Tengah serta mengingatkan agar menyambut Aidilfitri dengan kadar sederhana, menjaga kebersihan dan mengelakkan pembaziran.


"Program ini membolehkan masyarakat merasai semangat perpaduan dengan lebih dekat.


"Perpaduan bukan sekadar lafaz, tetapi perlu dizahirkan dan diterjemah melalui tindakan dengan penuh kesungguhan serta komitmen daripada semua lapisan masyarakat.


"Syabas dan tahniah serta terima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu menjayakan program ini," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page