top of page

Konflik Asia Barat: Jawatankuasa khas harian kaji impak ekonomi

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read
PM mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas harian dalam sidang media khas
PM mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas harian dalam sidang media khas

Kabinet hari ini memberi memberikan tumpuan kepada perkembangan konflik di Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran yang telah mengakibatkan banyak negara terjejas, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata kerajaan melakukan persediaan bagi mendepani konflik tersebut dengan mengambil langkah tertentu termasuk memastikan keterjaminan bekalan minyak untuk pasaran domestik dengan mengekalkan harga bersubsidi selain kesan kenaikan harga barang.


Bagi tujuan itu beliau memberitahu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas, mengkaji bersama dengan Menteri Ekonomi dan Menteri-Menteri yang berkaitan impak ekonomi setiap hari supaya dapat diberikan maklum kepada pimpinan Kerajaan.


"Jadi tentunya kita akan pantau perkembangan di Asia Barat dan apa kesudahannya. Kita mendoakan hadrat Allah SWT untuk melindungi mereka dan agar keamanan dapat dicapai. Tapi bagi kita, harus terus waspada," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.


Perdana Menteri berkata Malaysia turut terkena tempias daripada konflik tersebut yang sebelum ini merebak ke berbelas negara Teluk selain Turkiye dan Azerbaijan.


"Oleh itu, ia telah menjadi satu peperangan yang besar dan tidak lagi tertumpu dengan negara terpilih. Malaysia telah menyatakan secara tegas dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada rakan Ahli-ahli Parlimen merentas parti yang memberikan dukungan dan kenyataan bulat bersama dalam isu serangan ke atas Iran," katanya.


Susulan itu, Anwar berkata beliau telah menghubungi hampir semua pimpinan negara Teluk termasuk perbincangan yang panjang dengan pemimpin Turkiye, selain Presiden Indonesia, Probowo Subianto dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.


"Kita bersama dengan rakyat Iran juga menyatakan takziah dan simpati atas kematian Imam Ayatollah Ali Hosseini Khamenei , kita juga melahirkan beberapa keprihatinan dan kebimbangan kita, kerana berlakunya ketegangan dalam hubungan Iran dan beberapa negara jiran," katanya.


Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri beliau telah mengusulkan kepada Iran supaya mengambil perhatian supaya tempiasan itu tidak terkena kepada negara-negara jiran dan tumpu pada fokus terhadap Israel.


"Saya ucap terima kasih kepada Presiden Iran dan juga Menteri Luar yang memberi jaminan tegas cuba mengelak daripada tempiasan kepada negara-negara jiran. Di samping itu, penghargaan kepada pimpinan negara Teluk yang memberikan kesempatan kepada Malaysia berunding dengan mereka," ujarnya.


Anwar turut melahirkan kebimbangan konflik berkenaan mempunyai kesan kepada ekonomi dunia terutamanya Asia termasuk Malaysia seperti keterbatasan kawasan ruang udara penerbangan pesawat dan lebih parah gangguan bekalan minyak dan gas yang melalui Selat Hormuz.


"Sekarang dianggarkan lebih 400 kapal tangki minyak telah terkandas, dan sekitar 3,000 kapal pengangkutan lainnya. Pada 9 Mac, harga minyak Brent mencecah AS$119. Walaupun keadaan telah sedikit menurun pada semalam iaitu mencecah paras AS$90 setong. Ini satu peningkatan mendadak yang akan memberi kesan ekonomi bagi negara-negara pengimport dan pengguna minyak," ujarnya.


Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan kumpulan pertama rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang dari Asia Barat pada tengah hari ini hasil penyelarasan dilakukan Majlis Keselamatan Negara bersama dengan Kementerian Luar dan Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau tersebut.


"Operasi membawa pulang akan diteruskan, tapi kita tentunya akan pantau kerana sebahagian besar daripada mereka telah mampu menggunakan jalur biasa penerbangan dan pulang dengan selamat. Begitu juga rencana yang lain yang akan terus mengambil pesawat sedia ada," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page