Terperangkap Dalam Konflik: Mengapa ‘Jiwa’ KL Memudar?
- Suara Keadilan

- 3 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Lai Chen Heng
ULASAN: Mengenang Kuala Lumpur (KL) pada era 1990an bukan sekadar mahu mengimbau nostalgia lama, tetapi ia adalah bukti bagaimana rupa sebenar sebuah kota metropolis yang hidup. Waktu itu, KL bukan sekadar deretan bangunan konkrit; ia mempunyai ‘nadi’.
Saya masih ingat fenomena penghibur antarabanagsa Michael Jackson pada tahun 1996. Abang saya yang gagal mendapat tiket tetap menunggang motosikal ke Stadium Merdeka, menyertai lautan peminat pelbagai bangsa di luar pagar hanya untuk merasai suasananya.
Kita tidak perlukan tiket VVIP untuk merasai keharmonian; kita hanya perlu berada di sana, bersama-sama di bawah langit yang satu. Era itu adalah zaman di mana kepelbagaian diraikan tanpa perlu ada pihak yang mahu menjadi ‘polis moral’.
Bijak mengimbangi ekonomi dan budaya
Hari ini, penganjur acara antarabangsa mula meminggirkan Malaysia kerana kos operasi dan kebimbangan terhadap protes melampau. Namun, langkah Kementerian baru-baru ini yang mengurangkan levi hiburan serta memotong deposit keselamatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah satu isyarat jelas bahawa kita mahu kembali kompetitif.
Ini bukan bermaksud kita menerima segala budaya luar sewenang-wenangnya. Kita mempunyai cara sendiri dalam mengawal selia. Lihat saja konsert Mariah Carey sebelum ini; walaupun beliau bintang dunia, beliau tetap menghormati garis panduan tempatan dengan berpakaian sopan tanpa menjejaskan kualiti persembahannya. Inilah formulanya—kerajaan memudahkan urusan kewangan (levi), dan artis menghormati sensitiviti kita.
Mengukur fakta, bukan sentimen
Isu seperti acara Rain Rave di Bukit Bintang baru-baru ini sering dipolitikkan secara berlebihan. Namun, mari kita lihat fakta: adakah berlaku pemakaian yang tidak senonoh (indecent attire)? Adakah terdapat isu alkohol, ganja, atau gejala sosial yang melampau? Jawapannya adalah tidak.
Sebagai bekas ahli Lembaga Penasihat DBKL, saya tahu betapa ketatnya proses penapisan permit kita. Acara tersebut berakhir dengan sifar tangkapan dan sifar salah laku. Malangnya, tokoh seperti Akmal Salleh dan pengkritik lain sering melabel acara hiburan sebagai punca masalah moral tanpa melihat fakta di lapangan.
Adalah pelik apabila kita begitu kuat menjerit tentang prinsip, tetapi terlupa bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum yang haknya dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Akar umbi tradisi Songkran dan komuniti Siam
Melabel acara berasaskan air sebagai ‘budaya import’ adalah hujah yang kurang tepat dan seolah-olah menafikan kewujudan sebahagian rakyat kita sendiri. Malaysia mempunyai komuniti Siam Malaysia yang signifikan, dianggarkan sekitar 60,000 hingga 70,000 orang, terutamanya di negeri-negeri utara.
Bagi mereka, perayaan Songkran (Tahun Baru Siam) yang melibatkan tradisi memercikkan air adalah warisan keagamaan dan budaya yang sudah sebati dengan fabrik sosial Malaysia sejak sekian lama. Malah, acara Pesta Air juga merupakan acara tahunan yang diiktiraf di negeri-negeri seperti Melaka.
Jika tradisi memercik air ini dianggap sebagai simbol perpaduan di negeri-negeri utara, mengapa apabila konsep yang sama diangkat dalam bentuk hiburan moden di ibu kota, ia tiba-tiba dipandang sebagai ancaman asing?
Pilihan di tangan individu
Menteri ada menyatakan berkenaan isu ini: 'sekiranya anda merasakan ada kekangan agama atau prinsip peribadi, cara yang paling mudah adalah dengan tidak menghadirinya'. Ada benar kata-kata itu. Dalam sebuah masyarakat majmuk, tanggungjawab peribadi adalah kunci.
Jika sesuatu acara tidak sesuai dengan pegangan kita, kita ada pilihan untuk tidak menyertainya tanpa perlu menyekat hak orang lain untuk berhibur dalam ruang yang dikawal selia secara profesional.
Masa depan KL menjadi bandar dunia
Jika KL mahu terus bersaing dengan Singapura atau Vietnam, kita perlu berhenti membiarkan tekanan sosial menyekat kemajuan. Sebuah bandar raya global bukan hanya tentang bangunan pencakar langit, tetapi tentang ruang di mana kebebasan, ekonomi, dan pegangan agama boleh wujud bersama secara harmoni.
Sudah tiba masanya kita berhenti mempolitikkan pentas hiburan. Biar Kuala Lumpur kembali bernafas dalam rentak iramanya yang tersendiri, selagi ia tidak keterlaluan. Marilah kita menjadi sebuah kota yang terbuka, inklusif, dan berani untuk terus maju.
Penulis merupakan mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan




Comments