MARA bertindak sebagai pusat sehenti ekonomi Bumiputera


Kerajaan akan memperkukuh peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai “payung besar” dan pusat sehenti pembangunan ekonomi Bumiputera dalam usaha menyelaras agenda pemerkasaan golongan itu secara lebih berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab tersebut melibatkan kerjasama semua agensi kerajaan termasuk kementerian ekonomi dan kementerian lain.
"MARA sebagai payung besar (ekonomi) dan pusat sehenti pembangunan ekonomi Bumiputera. Ini satu tugas baharu semua agensi, kementerian ekonomi dan kementerian lain.
"Bila soal pusat sehenti pembangunan Bumiputera, kita alih amanah ini kepada MARA," katanya dalam Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut beliau, untuk itu kerajaan menggerakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu usahawan Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa.
"Baru-baru ini saya panggil semua syarikat kerajaan dan kita mahu mereka bantu Bumiputera untuk menembusi pasaran antarabangsa," jelasnya.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan bahawa kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan dan kritikan termasuk hasil dapatan daripada Kongres Bumiputera dan sidang pendidikan.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa resolusi berkaitan akan dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk diteliti oleh Majlis Pembangunan Bumiputera yang dipengerusikannya.
"Kita amanahkan TPM dan menteri menteri untuk memastikan program Bumiputera itu tidak terpinggir dan diberi keutamaan, dibentangkan di Majlis Pembangunan Bumiputera," ujarnya.
Anwar menegaskan bahawa setiap dasar berkaitan Bumiputera akan dibawa ke peringkat tertinggi kerajaan bagi memastikan pelaksanaannya tidak dipinggirkan.
"Kalau ada soal dasar dibawa ke Jemaah Menteri. Tak mungkin mudah diketepikan bila PM bentangan bersama TPM, jadi mesyuarat Jemaah Menteri tidak seperti diandai oleh sesetengah orang ditakuti hantu hantu parti lain," katanya.
Mengulas pencapaian kerajaan, beliau berkata beberapa langkah penting telah dilaksanakan termasuk pengisytiharan Tanah Rizab Melayu baharu di Bandar Malaysia serta pelaksanaan gaji minimum.
"Kenaikan pendapatan penengah isi rumah Bumiputera, termasuk gaji minima RM1,500 dan gaji atau pekerja GLIC RM3,100 minimum, itu majoriti Bumiputera. Kita lakukan dengan tindakan jelas, dalam kuasa kita.
"Kita tidak boleh paksa syarikat swasta tetapi syarikat kerajaan telah tetapkan gaji minimum RM3,100 dan memberi manfaat ratusan ribu... 87% itu Bumiputera," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keutamaan kerajaan adalah untuk menghapuskan kemiskinan tegar serta meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang politik negeri, termasuk negeri pembangkang.
"Saya memilih menekankan menyelesaikan isu banjir, prasarana, pendidikan dan kesihatan tanpa tolak ansur," katanya.
Menurut beliau, peningkatan peruntukan kepada negeri-negeri yang relatif miskin turut dilaksanakan, dengan kenaikan sehingga 26 peratus melibatkan jumlah sekitar RM120 bilion sejak kerajaan mengambil alih pentadbiran.




Comments