top of page

Bekalan beras cukup hingga hujung tahun, elak belian panik

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Bekalan beras negara, makanan ruji untuk 32 juta rakyat Malaysia dianggarkan mencukupi sehingga hujung tahun ini dan kerajaan mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik yang boleh mengganggu kestabilan pasaran.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tindakan membeli secara berlebihan boleh menyebabkan jangka hayat stok beras menjadi lebih singkat daripada sepatutnya.


"Insya-Allah cukup sampai hujung tahun asalkan kita tak panik membeli atau sorok stok.


"Kalau biasa kita beli satu beg 10 kilogram sebulan, jangan tiba-tiba beli sampai empat beg. Jika semua orang buat begitu, jangka hayat stok akan cepat habis dan pasaran boleh jadi tidak stabil," katanya dalam hantaran di Facebook.


Terdahulu Mohamad mengulas perkara tersebut dalam rancangan Bicara Naratif terbitan TV1 malam tadi.


Mohamad yang mesra dipanggil Bang Mat menjelaskan gangguan pasaran boleh menyebabkan bekalan yang sebenarnya mencukupi kelihatan tidak cukup sekali gus mendorong kenaikan harga dan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang, membeli mengikut keperluan dan mengamalkan sikap berjimat cermat bagi memastikan bekalan sedia ada dapat bertahan lebih lama.


Mengulas kebimbangan mengenai bekalan selepas hujung tahun, Mohamad berkata negara mempunyai mekanisme stok penimbal beras yang diurus secara berterusan.


"Setiap kali stok dikeluarkan, ia akan diganti semula dengan stok baharu dalam masa terdekat. Sistem ini memastikan bekalan sentiasa berterusan," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa bekalan makanan negara ketika ini secara keseluruhan masih mencukupi untuk tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.


Menurutnya, beberapa sektor seperti beras, ayam, telur dan sebahagian sayur-sayuran mencatatkan lebihan bekalan, namun sektor perikanan kekal sensitif dengan stok ikan yang hanya mampu bertahan sekitar sebulan sekiranya berlaku gangguan besar.


Mohamad berkata kesan krisis global terhadap bekalan makanan dijangka dirasai dalam tempoh tiga hingga enam bulan terutama susulan peningkatan harga minyak yang memberi kesan kepada kos baja, logistik, makanan ternakan serta operasi nelayan.


"Dalam keadaan ini, Bang Mat nak pesan, jangan panik tetapi bersedia secara bijak. Beli ikut keperluan, elakkan pembaziran dan jaga kepentingan bersama," katanya.


Pada masa sama, kata beliau kerajaan sedang memperkukuh pengeluaran domestik dengan mengurangkan kebergantungan kepada import selain membangunkan sektor pertanian dan akuakultur serta menggalakkan rakyat bercucuk tanam.


Beliau menegaskan pendekatan seimbang diperlukan bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara dengan tidak terlalu bergantung kepada import namun tidak menutup hubungan perdagangan antarabangsa.


"Keterjaminan makanan bukan sekadar soal hari ini, tetapi masa depan negara dan generasi akan datang," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page