top of page

Pemandu mabuk: Reformasi pelesenan, tubuh tabung Jaminan Keselamatan Jalan Raya

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menggesa reformasi menyeluruh terhadap sistem pelesenan komersial dan langkah keselamatan mobiliti awam susulan insiden kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk di Klang, Selangor.


Ketua Biro NGO dan Sukarelawan AMK, Shafiqram, berkata pihaknya menzahirkan rasa dukacita mendalam terhadap tragedi tersebut yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal.


"Tragedi ini menunjukkan bahawa ancaman pemandu mabuk adalah krisis keselamatan awam yang boleh meragut nyawa sesiapa sahaja tanpa mengira masa," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, peningkatan kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah bukan lagi isu terpencil, sebaliknya mencerminkan ancaman sistemik terhadap keselamatan awam dan modal insan negara.

Shafiqram
Shafiqram

"Walaupun statistik rasmi kemalangan maut akibat alkohol berada pada kadar 0.2 hingga 0.5 peratus, operasi penguatkuasaan menunjukkan lebih 1,500 tangkapan pemandu mabuk direkodkan setiap tahun, dengan Lembah Klang mencatatkan kes tertinggi," ujarnya.


Beliau turut menegaskan bahawa kemalangan jalan raya memberi kesan besar kepada ekonomi negara, dengan kerugian dianggarkan melebihi RM9 bilion setahun melibatkan kos rawatan, kerosakan harta benda dan kehilangan produktiviti.


"Setiap nyawa yang hilang akibat kecuaian yang boleh dicegah adalah satu kerugian besar kepada negara," ujarnya.


Sehubungan itu, AMK mengemukakan beberapa cadangan reformasi termasuk memperkenalkan konsep liabiliti premis atau “dram shop liability” dalam pelesenan penjualan alkohol.


Katanya, premis atau penjual perlu memikul tanggungjawab undang-undang sekiranya terus membekalkan arak kepada individu yang jelas hilang kawalan. Perniagaan tidak boleh hanya mengaut keuntungan tanpa memikirkan risiko kepada keselamatan awam.


Selain itu, AMK turut mencadangkan penubuhan dana khas bagi perlindungan mangsa kemalangan melalui sumbangan industri pengeluaran dan pengedaran minuman keras.


"Industri pengeluaran dan pengedaran minuman keras diwajibkan menyumbang kepada sebuah Tabung Amanah Keselamatan Jalan Raya. Dana ini bertujuan memberikan bantuan segera kepada mangsa kemalangan dan waris mereka tanpa perlu menunggu proses sivil yang lama," jelasnya.


AMK juga menggesa semakan semula terhadap waktu operasi penjualan alkohol di premis terbuka, khususnya di kawasan perumahan dan zon komersial, memandangkan insiden terbaharu berlaku pada waktu pagi.


"AMK menuntut semakan semula terhadap waktu operasi penjualan arak di kedai serbaneka dan premis runcit terbuka di kawasan perumahan serta zon komersial harian," katanya yang juga Ketua Biro Usahawan & Ekonomi, AMK Shah Alam.


Menurut beliau, semua pihak perlu melihat isu berkenaan sebagai isu hak keselamatan awam dan etika perniagaan.


Tegas beliau, keadilan bagi mangsa di Klang dan semua pengguna jalan raya hanya akan tercapai sekiranya kerajaan berani

melakukan reformasi terhadap rantaian bekalan alkohol di peringkat punca jualan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page