top of page

Kemalangan: Teliti pelaksanaan diyat, utama kebajikan waris mangsa - AMK T'ganu

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Cadangan pelaksanaan mekanisme diyat sebagai pampasan kepada waris mangsa kemalangan jalan raya perlu diteliti secara menyeluruh dan berhati-hati.


Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Terengganu, Ahmad Syawalruzzaini Muhammad berkata langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaannya selari dengan kerangka perundangan negara serta prinsip keadilan.


"AMK Terengganu menegaskan bahawa cadangan pelaksanaan mekanisme diyat perlu diteliti secara menyeluruh dan berhati-hati, selaras dengan kerangka perundangan negara serta prinsip keadilan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Ahmad Syawalruzzaini turut menekankan bahawa sebarang bentuk pampasan kepada waris mangsa mestilah mengutamakan aspek kebajikan dengan pendekatan yang adil, telus dan berperikemanusiaan.


"Kami berpandangan bahawa sebarang bentuk pampasan mestilah mengutamakan kebajikan waris mangsa, dengan pendekatan yang adil, telus dan berperikemanusiaan," ujarnya.


Dalam masa sama, AMK Terengganu berpandangan pendekatan berteraskan maqasid syariah mampu menawarkan penyelesaian lebih menyeluruh dalam menangani isu kemalangan jalan raya.


Katanya pelaksanaan diyat perlu mengambil kira kerangka perundangan negara termasuk keserasian antara undang-undang sivil dan syariah serta implikasi perlembagaan.


"Konsep diyat mencerminkan keadilan restoratif yang bukan sahaja menghukum pesalah tetapi juga memulihkan keadaan mangsa dan keluarga. Ini selaras dengan ruh syariah yang menekankan keseimbangan antara keadilan dab rahmah," ujarnya.


Cadangan pelaksanaan diyat sebelum ini dibangkitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan susulan kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk di Klang.


Beliau menegaskan mekanisme diyat iaitu pampasan berasaskan syariah wajar diteliti sebagai instrumen keadilan bagi melindungi hak waris mangsa serta memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.


Menurut beliau, kerajaan tidak akan berkompromi dalam kes yang meragut nyawa, dan pendekatan diyat dilihat sebagai pelengkap kepada sistem perundangan sedia ada tanpa menjejaskan undang-undang sivil.


Selain itu, perbincangan meja bulat melibatkan pelbagai pihak termasuk pakar syariah dan perundangan turut diadakan bagi menilai implikasi pelaksanaan mekanisme tersebut dari sudut undang-undang, pentadbiran dan kewangan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page