Pengurusan haji tahun 2026 lebih tersusun, lebih banyak kemudahan - Dr Zulkifli
- Akmal Manaf

- 2 minutes ago
- 2 min read

Pengurusan haji di bawah Kerajaan MADANI menerusi Tabung Haji (TH) tahun ini disifatkan jauh lebih tersusun, selesa dan mengutamakan kebajikan jemaah berbanding 2018 lalu, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan tetamu Allah menerima layanan terbaik sepanjang musim ibadah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang turun sendiri ke Mina baru baru ini bagi meninjau kemudahan disediakan kepada jemaah memaklumkan, pelbagai penambahbaikan dilaksanakan tahun ini termasuk penggunaan sofa bed yang lebih selesa dan pintu masuk khemah yang menggunakan magnet demi memudahkan pergerakan dan keselesaan para jemaah.
"Kemudahan yang kita sediakan (ialah) dengan (adanya) ‘sofa bed’, kain selimut dan kita juga ada tempat meletak barang dan yang menariknya kita ada tempat cas telefon bimbit.

"Di sofa bed ini kita boleh baring dan tidur. Alhamdulillah sangat selesa untuk jemaah kita.
"Kita (kerajaan) ingin memastikan bahawa jemaah boleh fokus untuk beribadah dan selebihnya kita akan menyediakan perkhidmatan kemudahan yang terbaik kepada jemaah haji Malaysia," katanya menerusi satu siaran video di platform media sosial beliau.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Tabung Haji atas segala usaha dan komitmen dalam mengurus kebajikan jemaah, selain mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dikurniakan haji yang mabrur tahun 2026.
Seramai 31,600 jemaah Malaysia dalam kalangan 1.5 juta umat Islam dari seluruh dunia yang menunaikan haji pada tahun ini mula bergerak ke Arafah secara berperingkat sejak 7.30 pagi semalam bagi menunaikan ibadah wukuf hari ini.
Dr Zulkifli dipetik berkata, pergerakan jemaah ke kawasan masyair (fasa kemuncak ibadat haji) berjalan lancar dan sebanyak 25 bas disediakan bagi setiap maktab untuk membawa semua jemaah di tujuh hotel penginapan secara tiga peringkat menuju ke Arafah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Makkah.




Comments