Projek RM600 juta berjalan, masalah banjir Johor ditangani Kerajaan MADANI
- Redzuan Shamsudin

- 50 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM2.9 bilion bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara, dengan Johor menerima lebih RM600 juta bagi tahun 2026.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Johor, Dr Zaliha Mustafa berkata peruntukan tersebut membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani isu banjir yang memberi kesan besar kepada rakyat.
"Saya meninjau perkembangan Projek Rancangan Tebatan Banjir Fasa 3 Pakej 1 di Mukim Pogoh, Sekijang bagi melihat sendiri status semasa pelaksanaan projek serta memastikan segala isu di tapak ditangani segera demi kelancaran projek," katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menurut beliau, susulan banjir besar yang melanda Johor pada Mac 2023, pelaksanaan projek RTB disegerakan bagi mengurangkan risiko bencana serta menghadapi cabaran perubahan cuaca.
"Kerajaan Persekutuan telah menyegerakan pelaksanaan projek-projek RTB bernilai lebih RM600 juta bagi menghadapi ancaman banjir. Semua projek kini dipantau rapi supaya dilaksanakan dengan telus, amanah dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat," ujarnya.
Tambah beliau, menerusi Belanjawan 2026, sebanyak 43 projek RTB berkeutamaan tinggi telah diluluskan termasuk projek baharu di Sungai Chaah, Segamat yang dijangka memberi impak besar kepada penduduk sekitar.
"Sebanyak RM2.9 bilion diperuntukkan untuk 43 projek RTB termasuk projek baharu RTB Sungai Chaah yang bakal memberi impak besar kepada penduduk Sekijang dan kawasan sekitar," ujarnya.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Sekijang itu memaklumkan bahawa projek RTB Fasa 3 Pakej 1 Sungai Muar kini menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mendahului jadual pelaksanaan.
"Projek ini mencatat kemajuan fizikal 38.84 peratus berbanding jadual asal 19.98 peratus, sekali gus mendahului pelaksanaan selama 157 hari," katanya.
Beliau turut memaklumkan cadangan untuk menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meninjau sendiri perkembangan projek tersebut.
"Ini bukan sekadar angka dan janji, tetapi bukti kesungguhan dan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan keselamatan rakyat, melindungi kediaman serta mengurangkan risiko banjir di Johor," katanya.




Comments