top of page

Peniaga Putrajaya nikmati diskaun sewa 30% mulai Jun

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Seramai 244 peniaga kecil di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya bakal menikmati pengurangan kadar sewa bulanan sebanyak 30 peratus bermula 1 Jun ini sebagai langkah membantu mengurangkan tekanan kos operasi.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif itu melibatkan peniaga medan selera, kios penjaja dan pasar milik Perbadanan Putrajaya selama tempoh 12 bulan sehingga 31 Mei 2027.


Menurut beliau, kadar sewa sebenar sebelum diskaun adalah secara purata antara RM150 hingga RM3,000 sebulan.


"Langkah ini bertujuan mengurangkan tekanan operasi dan membantu peniaga kecil terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar.


"Peniaga kecil tidak patut dibiarkan berjuang sendirian ketika cabaran kos sara hidup terus dirasai rakyat," katanya dalam kenyataan.


Hannah berkata, bagi melayakkan mereka menikmati pengurangan kadar sewa itu, peniaga terlibat perlu menyelesaikan tunggakan sewa sehingga Mei 2026.


Katanya, syarat tersebut juga memberi peluang kepada peniaga menyusun semula komitmen sewaan secara lebih stabil dan mampan.


"Saya memahami ramai peniaga kecil memulakan hari seawal pagi demi memastikan perniagaan mereka terus berjalan dan keluarga mereka terus terbela.


"Ketika rakyat sedang mengurus pelbagai cabaran kehidupan harian, bantuan yang bersasar amat penting supaya peniaga kecil terus mampu bertahan," katanya.


Dalam pada itu, Hannah turut menggalakkan peniaga menyokong amalan komuniti sihat dan mampan selaras dengan aspirasi Putrajaya termasuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta menyediakan pilihan makanan lebih sihat kepada pelanggan.


Selain itu, Perbadanan Putrajaya turut menawarkan diskaun antara 10 hingga 15 peratus bagi pembelian makanan dan minuman kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas di Medan Selera Presint 9.


"Saya berharap langkah ini dapat memberi sedikit ruang bernafas kepada peniaga kecil yang setiap hari berusaha mencari rezeki demi keluarga mereka.


"Apabila peniaga kecil terus diberi ruang untuk bertahan dan berkembang, seluruh komuniti turut mendapat manfaat daripada pengguna, keluarga hinggalah ekonomi setempat," katanya.


Laporan media tempatan sebelum ini menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) mengurangkan kadar sewa premis perniagaan susulan tekanan krisis bekalan dan tenaga global yang meningkatkan kos operasi peniaga kecil.


Anwar berkata, kerajaan MADANI telah memulakan pengurangan kadar sewa premis penjaja dan peniaga menerusi DBKL serta Majlis Amanah Rakyat dan pendekatan berteraskan ihsan itu wajar dicontohi PBT lain di seluruh negara.


Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi diskaun sewa sebanyak 50 peratus kepada lebih 10,000 peniaga dan penjaja di bawah seliaannya.


Pengurangan itu melibatkan tapak penjaja serta premis tertentu milik DBKL dan berkuat kuasa dari 1 April 2026 hingga 31 Disember 2027

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page