top of page

Dasar kerja dari rumah: Fasa pertama di Putrajaya

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Cadangan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam kini berada di peringkat akhir penelitian, dengan fasa pertama dijangka melibatkan beberapa kawasan terpilih dan tidak terhad kepada Putrajaya sahaja.


Perkara tersebut dimaklumkan oleh Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.


"Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah memaklumkan bahawa antara perkara yang sedang diteliti dalam beberapa perkara akhir sebelum diumumkan adalah pelaksanaan (BDR) bagi sektor awam bukan hanya bagi Putrajaya, tapi dalam fasa pertama (yang) melibatkan sejumlah kawasan.


"Untuk makluman lanjut, beliau (Shamsul Azri) akan mengumumkan bersekali dengan maklumat terperinci bagi perkhidmatan awam," katanya.


Bagi sektor swasta pula, Fahmi berkata mereka digalakkan meneliti pelaksanaan yang bersesuaian dengan mengambil kira bahawa sejak pandemik beberapa tahun lalu, terdapat syarikat yang telah dan masih meneruskan dasar bekerja dari rumah.


Untuk rekod, Kerajaan MADANI sedang memperincikan pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal bagi penjawat awam yang bekerja dari rumah bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan minyak dunia berikutan krisis di Asia Barat.


Menerusi satu perutusan khas, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan terpilih.


Selain itu, Anwar turut menggesa sektor swasta untuk melaksanakan BDR seperti yang dijalankan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page