Batang Kali Care perluas khidmat, mudahkan akses kesihatan penduduk
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 2 min read

Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali terus memperkukuh perkhidmatan kepada masyarakat setempat menerusi inisiatif kebajikan Batang Kali Care.
Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, inisiatif tersebut diwujudkan bagi memudahkan penduduk yang berdepan kekangan kewangan dan masalah pengangkutan mendapatkan akses rawatan serta menghadiri temujanji perubatan di hospital berhampiran.
"Batang Kali Care sebenarnya telah diwujudkan sejak awal penubuhan pusat khidmat ini dan kini diperkemas semula bagi memastikan penyelarasan jadual perkhidmatan yang lebih teratur sepanjang tahun 2026.
"Pasukan sukarelawan akan membantu membawa pesakit dari kediaman mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum menghantar mereka pulang semula selepas selesai temujanji doktor," katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.
Menurut Saifuddin, perkhidmatan percuma itu dijangka beroperasi sepenuhnya bermula April 2026, manakala tempahan perkhidmatan akan dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat.
Tambah beliau, perkhidmatan tersebut dirancang beroperasi sehingga tiga kali seminggu melibatkan perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang, dengan syarat pemakluman dibuat sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal kepada pasukan SUKA (Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor) Batang Kali.
"Pihak kami bagaimanapun hanya mampu menampung satu perjalanan bagi setiap hari operasi dan pesakit yang berada dalam keadaan paling kritikal akan diberi keutamaan. Kos pembelian ubat atau perbelanjaan rawatan lain pula perlu ditanggung sendiri oleh pesakit.
"Kami merancang memperluas perkhidmatan ini, pendaftaran sukarelawan dibuka kepada orang ramai yang ingin menyumbang khidmat. Elaun antara RM100 hingga RM150 bagi setiap perkhidmatan akan diberikan," tambah Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN itu.
Dalam perkongsian sama, beliau turut memaklumkan bahawa inisiatif tersebut telah mula digerakkan semalam dengan perkhidmatan membawa seorang pesakit mendapatkan rawatan di hospital.
"Koordinator SUKA Batang Kali, Fathul Karib memulakan jadual perkhidmatan tahun 2026 dengan membawa saudara Azman bin Hassim ke hospital.
"Semoga usaha ini mendapat sokongan ramai dan dipermudah segala urusan pesakit untuk mendapatkan rawatan yang terbaik," katanya.




Comments