top of page

Barangan kuil di Rawang dipindah sebelum Yayasan Kubra bersihkan tanah

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor mengesahkan kerja-kerja pemindahan patung berhala di Kuil Sri Uchimalai Muniswaran, Rawang Perdana, Gombak berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini awal pagi tadi.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata operasi yang dijalankan antara pukul 9.30 malam tadi hingga 4.12 pagi, melibatkan pihak pengurusan kuil bersama 10 penganut.


"Kesemua empat patung berhala telah dipindahkan sebelum pemilik tanah memulakan kerja-kerja pembersihan tapak.


"Sepanjang proses tersebut berlangsung tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku serta keadaan dipantau oleh pihak PDRM," katanya dalam kenyataan hari ini.


Shazeli mengingatkan semua pihak supaya menghormati saluran perundangan dan tidak mengambil tindakan yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama.


"Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan pemilik tanah yang sah.


"Pihak polis juga akan memantau ketat sebarang penularan maklumat di media sosial dan memberi amaran keras terhadap penyebaran kandungan berbaur 3R (agama, bangsa, diraja) yang boleh mencetuskan kegusaran awam," katanya.


Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tindakan meruntuhkan struktur rumah ibadat berkenaan yang didakwa dibina di atas tanah milik Yayasan Kubra berjalan lancar.


"Alhamdulillah awal pagi tadi kita telah berjaya meruntuhkan rumah anutan haram di atas tanah milik Yayasan Kubra tanpa apa-apa rusuhan dan berjalan dengan lancar. Pihak polis pun ada memantau keadaan walaupun pada mulanya kita agak skeptikal dengan pihak polis. Terima kasih kepada PDRM," katanya.


Beliau berkata, gerakan itu melibatkan gabungan pelbagai pihak termasuk peguam, aktivis dan NGO Islam.


"Gerakan ini melibatkan ramai orang Islam dan juga bukan Islam. Ia hasil dari pelbagai mesyuarat dan cadangan pelbagai pihak. Para peguam mengatur strategi perundangan, aktivis pula merangka aktiviti, NGO Islam melaksanakan perancangan," katanya.


Menurutnya, patung-patung sembahan tidak dirosakkan sepanjang proses berkenaan.


"Semasa meruntuhkan rumah anutan haram tersebut, kita masih menghormati agama lain. Buktinya kita tidak memecahkan patung-patung sembahan mereka. Kita cuma alihkan sahaja kedudukan mereka dan kemudiannya mereka membawa patung-patung tersebut ke tempat lain.


"Ini bukan isu agama. Rumah anutan yang mengikut undang-undang kita tak pertikaikan malah Islam melindungi kebebasan beragama," katanya.


Terdahulu, Yayasan Kubra dalam satu kenyataan semalam menegaskan pihaknya bertindak sebagai pemilik berdaftar tanah berkenaan yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.


Yayasan itu memaklumkan telah memberikan tempoh 14 hari bermula 11 Februari hingga 24 Februari kepada pihak yang menduduki tapak berkenaan untuk mengosongkan binaan yang didakwa tidak sah, selepas pertemuan bersama pihak berkuasa termasuk IPD Gombak.


Menurut kenyataan itu, selepas tamat tempoh sehingga jam 11.59 malam, tindakan pembersihan tapak akan dilaksanakan tanpa notis lanjut dan segala kos adalah di bawah tanggungjawab pihak yang menceroboh.


Yayasan Kubra juga menjemput NGO serta individu untuk menyertai gotong-royong membersihkan tapak tanah miliknya pada jam 5 petang ini selain memaklumkan tanah berkenaan dirancang untuk pembangunan rumah asnaf.


Perkembangan itu berlaku dalam suasana pihak berkuasa menegaskan kepentingan penyelesaian mengikut undang-undang serta mengelakkan sebarang kenyataan berbaur perkauman atau keagamaan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page