top of page

Hina Islam: Kerajaan pandang serius, siasat, ambil tindakan sewajarnya - Dr Zulkifli

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan memandang serius insiden penghinaan terhadap Islam dan al-Quran yang tular baru-baru ini sambil menekankan tindakan tegas sedang diambil bagi memastikan kedaulatan undang-undang terus terpelihara.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, perbuatan seumpama itu telah mengguris maruah umat Islam lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menyambut Ramadan yang mulia.


"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius dan memantau insiden yang tular melibatkan seorang individu bukan Muslim yang menghina Islam dan al-Quran.

"Pihak berkuasa sedang menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk telah menangkap dan mendakwa individu tersebut mengikut lunas undang-undang," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.


Dr Zulkifli menyeru semua pihak agar terus menjaga keharmonian yang telah dibina selama ini tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak pelampau yang mahu menggugat keamanan negara.


Dalam perkembangan sama, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera diambil melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung insiden seorang individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform media sosial Threads.


Fahmi menyifatkan, perbuatan berkenaan sebagai biadab, menghina Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.


Menurut laporan media, individu berkenaan dilaporkan telah memohon maaf pada tengah malam tadi dan mengaku membuat kesilapan besar yang tidak menghormati kesucian agama Islam.


Dia menjelaskan, hantaran tersebut dibuat ketika sedang dipengaruhi perasaan marah dan dendam.


Bagaimanapun, individu yang didakwa penuntut sebuah universiti di Pahang itu, telah ditahan polis hari ini untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.


Sejak semalam, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu yang didakwa penuntut sebuah institut pengajian tinggi di Pahang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page