Kepimpinan Anwar perlu terus disokong demi kestabilan negara
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu terus dipertahankan dan disokong demi memastikan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi serta perpaduan negara terus kukuh, kata Ahli Undangan Dewan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong Kian Young.
Menurut beliau, sokongan terhadap Perdana Menteri bukan bersandarkan sentimen politik semata-mata sebaliknya berasaskan prestasi dan keberanian dalam melaksanakan reformasi yang menyentuh kepentingan rakyat serta tatakelola negara.
"Dengan pendirian yang jelas dan tegas, saya menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
"Ketika ini beliau diserang dari luar dan juga dari dalam parti. Namun saya melihat serangan ini bukan kerana beliau gagal sebaliknya kerana beliau berani – berani melawan rasuah, berani menyentuh kepentingan golongan kapitalis yang selama ini selesa dan berani membuat keputusan yang tidak popular demi kepentingan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

David yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Negeri Selangor berkata kedudukan ekonomi negara ketika ini berada di landasan yang lebih meyakinkan termasuk pengukuhan nilai ringgit yang mencecah sekitar RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat, antara pencapaian terbaik dalam tempoh lapan tahun.
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai petunjuk keyakinan pasaran terhadap dasar ekonomi kerajaan serta disiplin pengurusan kewangan negara.
Dalam aspek politik, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri berjaya meredakan ketegangan dan mengurangkan perpecahan kaum, sekali gus mewujudkan suasana lebih stabil untuk pentadbiran memberi fokus kepada ekonomi dan kebajikan rakyat, ujar beliau.
"Dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, kestabilan politik adalah asas kepada keamanan dan kemajuan," jelasnya.
Mengulas isu integriti, David menegaskan komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah terus diperkasakan termasuk melalui penambahbaikan tatakelola serta penguatkuasaan yang lebih tegas.
Katanya peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menegakkan prinsip keadilan dan akauntabiliti tanpa kompromi.
Beliau turut menekankan pelaksanaan bantuan tunai dan subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana membuktikan pendekatan pentadbiran yang seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.
"Malaysia perlukan kepimpinan yang konsisten, berprinsip dan mengutamakan perpaduan, bukan perpecahan.
"Saya menyeru semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama, untuk menilai berdasarkan fakta dan prestasi, bukan sentimen.
"Demi kestabilan negara, ekonomi rakyat dan perpaduan Malaysia, saya menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan PM Anwar," katanya lagi.




Comments