Kematian di IPT 5 tahun: KPT jamin semakan SOP, pantau kebajikan mahasiswa
- Akmal Manaf

- 4 hours ago
- 2 min read

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan komitmennya untuk memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa terpelihara sepanjang tempoh pengajian di kampus, sekali gus menjamin persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, bagi tujuan penambahbaikan berterusan, pihaknya akan terus memperkasa langkah baharu termasuk mengeluarkan arahan rasmi kepada semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta supaya melaksanakan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh dan berkala.
Beliau berkata, pemeriksaan itu merangkumi semakan terhadap sistem keselamatan di kawasan kampus dan premis kediaman pelajar bagi memastikan tahap perlindungan sentiasa berada pada tahap optimum, termasuk kawalan akses, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta penyediaan laluan yang terang dan selamat.
"Kemudian kita juga pastikan ada semakan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang berkait dengan keselamatan dan juga kecemasan termasuk keluar masuk pelawat di asrama serta respon pantas jika berlaku sebarang insiden.
"Kementerian juga turut membangunkan Manual Rujukan Permohonan dan Penggunaan Kenderaan Bukan Milikan Universiti dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) serta pasukan petugas (taskforce) kebajikan mahasiswa universiti awam (sedang dibangunkan) bagi memastikan penggunaan kenderaan dilaksanakan secara terancang, telus serta menepati piawaian keselamatan kewangan dan juga tadbir urus," katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini sebagai menjawab pertanyaan Ir Ts Khairil Nizam Khirudin [PN-Jerantut] mengenai statistik kejadian di IPT yang meragut nyawa pelajar dalam lima tahun kebelakangan ini dan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang Kementerian bagi memastikan perlindungan serta keselamatan kampus ditambah baik secara menyeluruh.
Menurut Adam Adli lagi, pihaknya turut memastikan kerjasama erat dijalin bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan kehadiran polis komuniti serta rondaan keselamatan di sekitar kawasan institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata, langkah itu tidak terhad di dalam kampus sahaja, sebaliknya turut melibatkan kawasan persekitaran bagi memastikan tahap keselamatan pelajar sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
"Ia bertujuan untuk kita mencegah kejadian-kejadian jenayah.. kita juga memainkan peranan aktif sebagai pemegang taruh strategik dalam jawatankuasa keselamatan dan kesesakan jalan raya yang berkait dengan kemalangan jalan raya.
"Untuk makluman, sepanjang lima tahun dari 2021 sehingga 2025, direkodkan sebanyak 37 insiden yang meragut nyawa melibatkan mahasiswa di kampus-kampus universiti awam.
"Dalam erti kata lain, kalau kita bandingkan dengan keseluruhan jumlah mahasiswa sepanjang lima tahun, kes ini agak kecil namun tentu sekali kalau boleh kita nak (perkara) itu tidak berlaku langsung.
"Kebanyakannya adalah (kes) kemalangan iaitu sebanyak 18 kes, kemudian kematian mengejut melibatkan 19 kes.. Alhamdulillah (kes) jenayah tidak pernah direkodkan," ujarnya lagi.




Comments