Banjir Selangor: Khir Toyo perlu jawab rekod pentadbiran


Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo perlu menjawab rekod pentadbirannya sebelum menuding jari kepada kerajaan Selangor berhubung pembatalan Canal City.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, dakwaan Khir Toyo bahawa projek berkenaan mampu mengelakkan banjir seharusnya disokong bukti teknikal menyeluruh, termasuk penilaian kesannya terhadap kawasan hiliran.
"Penjelasan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) pada 2014 menyatakan pembatalan Canal City dibuat berdasarkan kajian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang mendapati projek tebatan banjir itu tidak diperlukan memandangkan kapasiti kolam takungan sedia ada ketika itu masih mencukupi.
"Jika Khir Toyo mahu mempertikaikan keputusan tersebut, beliau perlu mengemukakan analisis kejuruteraan yang menyangkal dapatan JPS.
"Mengulang kehebatan cadangan lama tidak membuktikan keberkesanannya dalam menangani banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Mohamad Khir mendakwa beliau pernah merancang projek tebatan banjir ketika menjadi Menteri Besar Selangor dengan membina satu terusan sepanjang 18 kilometer menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat.
Sementara itu menurut Saifuddin, rakyat Selangor berhak mendapat penjelasan berasaskan fakta, bukannya gambaran bahawa pembatalan sebuah projek menjadi punca kepada segala kejadian banjir selepas itu.
Dalam isu banjir, rekod ketika Khir Toyo menjadi Menteri Besar juga tegasnya wajar diberikan perhatian, termasuk banjir besar di TTDI Jaya pada 26 Februari 2006.
Malah, aduan penduduk mengenai kejadian banjir berulang di kawasan itu masih dilaporkan pada April 2007 ketika Selangor masih ditadbir BN.
"Kerajaan hari ini wajib dipertanggungjawabkan terhadap setiap tindakan yang diambil. Namun, bekas pentadbir juga tidak boleh mengelak daripada menjawab keputusan yang dibuat ketika mereka berkuasa.
"Banjir tidak memberi sesiapa lesen untuk mencuci rekod pentadbiran sendiri," tambahnya.




Comments