top of page

Tafsiran undang undang: Pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguh sementara

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
28 minutes ago
2 min read

Jabatan Peguam Negara (AGC) berpandangan, pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak wajar ditangguhkan buat sementara waktu sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan Order of Discharge diselesaikan.


AGC dalam kenyataannya berkata, terdapat persoalan perundangan berhubung interpretasi frasa 'menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta' dan kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.


Secara khususnya, AGC berkata terdapat dua interpretasi yang perlu diberikan penelitian lanjut iaitu pertama, pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.


"Berdasarkan interpretasi ini, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara tersebut dan bukannya penamatan hukuman penjara.


"Kedua, pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, yang membawa kesan bahawa keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap telah selesai.


"Persoalan ini turut melibatkan kesan undang-undang Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setelah pembayaran denda RM50 juta direkodkan.


"Perintah tersebut mengarahkan supaya Najib dilepaskan serta-merta, namun pada masa sama menyatakan bahawa baki hukuman hendaklah dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat," katanya hari ini.


Selain itu, AGC berpendapat, persoalan mengenai status baki hukuman penjara bagi kes SRC International turut mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara ke atas Najib bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), khususnya berhubung perintah mahkamah yang menetapkan bahawa hukuman bagi kes 1MDB hendaklah bermula selepas selesai hukuman penjara bagi kes SRC International.


"Perkara ini juga perlu diteliti mengambil kira permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) bagi kes 1MDB yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2026.


"Memandangkan isu-isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan perundangan yang kompleks, mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan titah pengampunan dan perintah mahkamah, serta merupakan suatu keadaan yang belum pernah dihadapi sebelum ini, Jabatan Peguam Negara berpandangan bahawa penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil.


"Sehubungan itu, pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib wajar ditangguhkan buat sementara waktu sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Order of Discharge tersebut diselesaikan.


"Dalam tempoh tersebut, status penahanan beliau hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan," ujarnya lagi.


Bagaimanapun, AGC berkata, penangguhan sementara itu bukan bertujuan untuk mempertikaikan atau mengetepikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya merupakan langkah bagi memastikan titah tersebut dan perintah mahkamah yang berkaitan dilaksanakan dengan tepat, teratur dan selaras dengan kedudukan undang-undang sebenar.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page