top of page

KEADILAN pembangkang di Sarawak, jangan kelirukan kerjasama peringkat Persekutuan

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
2 hours ago
2 min read
Senator Abun Sui Anyit. Gambar arkib
Senator Abun Sui Anyit. Gambar arkib

KEADILAN Sarawak menegaskan kedudukannya sebagai pembangkang di peringkat negeri tidak harus disalah tafsir sebagai keretakan hubungan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau penolakan terhadap kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.


Penegasan itu disuarakan Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit yang menyifatkan usaha mengaitkan persaingan politik di Sarawak dengan hubungan kerjasama nasional sebagai gambaran mengelirukan dan tidak tepat.


Katanya, terdapat pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan memperbesarkan kenyataan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah sehingga seolah-olah GPS menolak KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan, termasuk dalam konteks kerjasama politik di peringkat Persekutuan.


"Pandangan peribadi saya, sebagai anggota KEADILAN Sarawak, kami menerima hakikat bahawa KEADILAN bukan sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sarawak dan oleh itu kedudukan kami adalah sebagai pembangkang di peringkat negeri.


"Perkara ini bukan sesuatu yang mengejutkan atau perlu dipertikaikan. Kami memahami realiti politik Sarawak dan menghormati kedudukan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.


Oleh itu kata Abun, kedudukan KEADILAN sebagai pembangkang di Sarawak tidak seharusnya diperluaskan atau dimanipulasi sehingga menimbulkan gambaran bahawa GPS turut menolak PH atau kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.


Ujarnya lagi, hubungan politik di peringkat negeri perlu dibezakan daripada kerjasama yang terjalin dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.


"Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri pernah menyatakan komitmen GPS untuk terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal Kerajaan Persekutuan.


"Justeru, tidak timbul persoalan bahawa kedudukan KEADILAN sebagai pembangkang di Sarawak secara automatik menjadi alasan untuk GPS menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.


"KEADILAN berhak untuk bertanding dalam PRN-13 Sarawak atas landasan dan kekuatan politik sendiri tanpa perlu berasa ragu-ragu.


"Pada masa yang sama, hakikat bahawa GPS dan KEADILAN berada di blok politik yang berbeza di Sarawak tidak seharusnya menjejaskan komitmen kerjasama di peringkat nasional.


"Saya percaya kematangan politik menuntut kita menghormati perbezaan politik di peringkat negeri tanpa mengorbankan kestabilan dan kerjasama di peringkat Persekutuan," kata Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang.


Terdahulu, GPS dilapor tidak berminat menjalinkan sebarang kerjasama politik dengan KEADILAN pada PRN ke-13.


Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, landskap politik Sarawak berbeza daripada peringkat Persekutuan, apabila kerjasama antara parti tidak semestinya diterjemahkan kepada pakatan pilihanraya di negeri itu.


Beliau berkata, GPS mempunyai kekuatan tersendiri sebagai gabungan empat parti yang mengutamakan kepentingan Sarawak dalam setiap keputusan dan hala tuju pentadbiran negeri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page