top of page

Tragedi bot karam: Percepat kelulusan permohonan SKDS pengusaha bot penumpang

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
2 hours ago
2 min read
Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui
Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui

KEADILAN Sarikei mendesak pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi menangani isu pengangkutan serta keselamatan penduduk Kampung Hulu Paloh susulan tragedi bot karam yang mengorbankan seorang penduduk pada 1 November lalu.


Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui berkata, antara langkah yang perlu diberikan perhatian ialah mempercepatkan kelulusan permohonan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi pengusaha bot ekspres penumpang Kampung Paloh yang telah memenuhi syarat dan mengemukakan dokumen lengkap.


Beliau berkata, langkah itu demi memastikan perkhidmatan pengangkutan air dapat beroperasi secara berterusan dengan kos yang munasabah.


Katanya, langkah seterusnya ialah mengembalikan jadual perjalanan bot ekspres yang lebih kerap dan konsisten antara Kampung Paloh dengan Bandar Sarikei supaya penduduk tidak terpaksa bergantung kepada sampan kecil yang berisiko tinggi untuk urusan harian.


"Kemudian adakan lawatan turun padang secara berkala oleh agensi kerajaan dan pihak berkaitan bagi memahami sendiri kesukaran, keperluan serta realiti kehidupan penduduk pedalaman yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan sungai.


"Pada masa sama, menilai juga keperluan pembangunan infrastruktur pengangkutan darat yang lebih sempurna ke Kampung Paloh sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap laluan sungai yang berisiko.


"Terakhir, langkah yang perlu diberikan perhatian ialah meningkatkan aspek keselamatan pengangkutan air, termasuk kemudahan keselamatan penumpang, pematuhan had muatan dan kesedaran keselamatan perjalanan sungai, khususnya bagi penduduk yang menggunakan sampan kecil," katanya dalam kenyataan.


Dalam pada itu, Bruce Yee berkata, pihaknya berpandangan bahawa tragedi berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai satu kemalangan bot karam semata-mata.


Keterbatasan akses pengangkutan


Sebaliknya kejadian itu ujarnya perlu menjadi satu peringatan serius kepada semua pihak berwajib tentang kesukaran hidup, keterbatasan akses pengangkutan dan risiko keselamatan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk pedalaman.


"Kelewatan dalam menyelesaikan isu permohonan subsidi diesel SKDS serta kekurangan perkhidmatan pengangkutan awam sungai yang berkesan telah menambahkan beban kehidupan penduduk.


"Dalam keadaan tertentu, penduduk terpaksa mengambil risiko sendiri demi mendapatkan keperluan asas untuk keluarga mereka.


"Kami berharap agar semua agensi berkaitan dapat meningkatkan kecekapan, prestasi dan tatakelola pentadbiran masing-masing, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam melaksanakan dasar subsidi bersasar secara adil, cekap dan prihatin terhadap keperluan rakyat.


"Kebajikan, keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat, khususnya masyarakat pedalaman, tidak boleh dipandang ringan," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page