Hadis akhir zaman bukan alat cipta naratif kebencian politik – Dr Zulkifli


Hadis berkaitan akhir zaman, termasuk mengenai Dajjal, tidak seharusnya dijadikan alat untuk membina naratif berasaskan polemik dan kebencian politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata sebarang dakwaan berkaitan agama perlu berlandaskan pengetahuan dan dalil, bukannya pentafsiran yang melampaui batas.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penggunaan hadis akhir zaman dalam perbahasan politik, khususnya susulan kontroversi kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang mengaitkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) ditandatangani Kerajaan MADANI dan pembangkang dengan 'pendekatan Dajjal'.
Menurut Zulkifli, peringatan itu turut ditekankan menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Isra' ayat 36 yang mengingatkan umat Islam supaya tidak mengikuti atau memperkatakan sesuatu tanpa pengetahuan.
"Dan janganlah engkau mengikuti sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan"
"Ayat ini memberikan peringatan dan menegaskan kepada kita semua untuk tidak membuat sesuatu dakwaan berkaitan agama yang melampaui batas pengetahuan dan dalil," katanya dalam hantaran di media sosial.
Tegas beliau, hadis akhir zaman tidak boleh digunakan secara sembarangan, terutama ke atas kaedah politik yang tiada kena mengena dengan kedatangan 'dajjal'.
"Hadis-hadis akhir zaman termasuk mengenai Dajjal merupakan sumber yang wajib dipelihara daripada pentafsiran dan naratif yang dibina atas polemik dan kebencian politik," katanya..
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya mengutamakan perpaduan dan memperkukuh hubungan sesama umat Islam berbanding menyemarakkan permusuhan.
"Marilah kita semua bersatu hati membina dan memperkukuh ukhuwah Islamiah bukan menanam kebencian.
"Moga kita semua dilindungi dan dipelihara Allah," katanya.




Comments