top of page

Lawatan delegasi P Pinang ke Mesir tidak guna dana zakat – TKM I

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid

Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid menafikan sekeras kerasnya dakwaan beliau menyeleweng dan menggunakan cek zakat berjumlah RM100,000 bagi lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke Mesir tahun lalu.


Timbalan Ketua Menteri I itu berkata, lawatan delegasi diketuai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketika itu, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sama sekali tidak membabitkan dana kutipan zakat, sebaliknya menggunakan Kumpulan Wang Pentadbiran dalam belanjawan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) 2025.


"Tiada wang agihan zakat kepada asnaf, fakir miskin mahupun wang tawaquf digunakan bagi membiayai lawatan itu.


"Tiada sebarang permohonan dibuat kepada Zakat MAINPP untuk mendapatkan cek zakat seperti yang didakwa.


"MAINPP juga tidak pernah menerima cek berkenaan, jadi dakwaan itu adalah dinafikan," katanya Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Maung itu dipetik laporan media.


Beliau berkata begitu pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Khamis.


Pas Pulau Pinang sebelum ini mendakwa wang zakat sebanyak RM100,000 digunakan bagi urusan lawatan ke Mesir.


Susulan dakwaan tersebut, Dr Mohamad bersama MAINPP dan Zakat MAINPP pada Mac lalu memulakan proses tindakan undang-undang berkaitan fitnah.


Bagi fasa pertama tindakan itu, empat individu dinamakan dan diberikan surat tuntutan iaitu aktivis Pembela Tanah Air, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard; Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hafiz Alias.


Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mohamad memaklumkan Dewan Negeri bahawa lawatan berkenaan menghasilkan beberapa pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan Islam serta kebajikan pelajar Pulau Pinang di Mesir.


Antara pencapaian tersebut ialah kerjasama pemindahan kredit atau Mu'adalah antara Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) dengan Universiti Al-Azhar dan penyediaan asrama baharu bagi penuntut Pulau Pinang di Mesir serta perasmian Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PIDL) pertama di Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page