Anugerah Bill Kayong diberikan kepada empat penerima
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Anugerah Bill Kayong dari Parti Keadilan Rakyat pada tahun ini diberikan kepada empat individu yang dinilai mempunyai jasa besar dalam memperkukuhkan perjuangan dan gerak kerja KEADILAN.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar; Ketua Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; dan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Penerima pertama ialah Allahyarhamah Sapiah Zaini, bekas Ketua Wanita KEADILAN Cabang Miri yang telah bersama parti sejak 1999.
Allahyarhamah Sapiah disifatkan memainkan peranan penting dalam membina dan memperkukuhkan kekuatan KEADILAN di Sarawak.
Anugerah bagi pihak Allahyarhamah Sapiah diterima wakil Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak, Nazib Johari.
Penerima kedua ialah Allahyarhamah Hasbul Syafiki Hasbullah, yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja KEADILAN Pulau Pinang.
Allahyarhamah Hasbul dikenang sebagai individu yang disenangi serta banyak menyumbang melalui gerak kerja parti.
Anugerah bagi pihak Allahyarhamah Hasbul diterima oleh bapanya, Hasbullah Yunus.
Penerima ketiga ialah Allahyarham Syafiq Ali Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Abang Mani, yang turut menerima pengiktirafan atas sumbangannya kepada gerak kerja KEADILAN.
Beliau disifatkan sebagai individu yang sentiasa membantu gerak kerja parti dalam setiap pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil (PRK), tanpa mengira lokasi di seluruh negara.
Lebih bermakna, segala gerak kerja tersebut dilakukan dengan menggunakan perbelanjaan sendiri sebagai tanda komitmen terhadap perjuangan parti.
Penerima keempat ialah Allahyarham Mohd Shahanaz Nazaruddin yang turut dikenang atas sumbangannya dalam membantu kerja-kerja lapangan parti.
Allahyarham Shahannaz disifatkan sebagai seorang individu yang sangat disenangi serta sentiasa mempunyai idea dalam membantu memperkukuhkan gerak kerja KEADILAN.
Anugerah Bill Kayong diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan pengorbanan individu yang terus memberikan khidmat kepada perjuangan parti dan rakyat.
Pengiktirafan itu turut menjadi simbol penghargaan KEADILAN terhadap mereka yang mencurahkan tenaga, masa dan sumber dalam memperkukuhkan organisasi, termasuk di peringkat akar umbi.




Comments