top of page

AMK susun segera kekuatan hadapi PRU16 - Omar Mokhtar

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) perlu segera menyusun kekuatan, memperkemas organisasi dan memastikan jentera parti bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, kata Setiausaha AMK Pusat, Omar Mokhtar A Manap (gambar).


Beliau berkata, Kongres AMK kali ini berlangsung dalam keadaan cabaran politik semakin hebat selepas Pakatan Harapan kalah dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan.


"Kongres ini berlangsung ketika cabaran semakin hebat. Landskap politik berubah dengan pantas, sentimen rakyat kompleks, persaingan politik sengit dan menuntut kita sebagai kepimpinan anak muda untuk bersedia," katanya dalam ucapan pembukaan Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN 2026 dengan tema, "Menggerak Harapan, Memimpin Perubahan" di MITC, Air Keroh, Melaka, malam tadi.


Menurut Omar, AMK tidak mempunyai banyak masa untuk terus bernostalgia dengan kejayaan lalu atau terlalu lama meratapi kekurangan dan kelemahan yang berlaku.


Begitu juga, katanya, idealisme sahaja tidak memadai sekiranya tidak disokong kekuatan organisasi dan strategi yang jelas.


"Idealisme tanpa organisasi tidak akan membawa kemenangan. Perjuangan tanpa strategi hanya menjadikan kita penonton kepada perubahan yang ditentukan oleh orang lain," jelasnya.


Sehubungan itu, beliau berkata AMK perlu mengambil tindakan segera dengan menyusun kekuatan, memperkemas organisasi dan memastikan gerak kerja di lapangan dimulakan dari sekarang.


"Sebab itu kita perlu segera menyusun kekuatan, jentera perlu bersedia, organisasi perlu diperkemas dan gerak kerja lapangan mesti bermula dari sekarang," katanya.


Omar berkata, persiapan menghadapi PRU16 bukan satu tugas mudah dan memerlukan kesatuan, kesungguhan serta kesediaan seluruh kepimpinan dan anggota parti.


"Saya ambil ruang ini untuk kita sama-sama bermuhasabah dan bangkit kembali sebagai suatu kekuatan yang bersedia untuk mengembalikan kekuatan kita dan meletakkan Datuk Seri Anwar kekal sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua," tegasnya.


Beliau berkata, kongres berkenaan perlu dijadikan medan untuk merangkul semula kekuatan parti secara jujur dan mencetuskan kebangkitan baharu dalam kalangan anak muda KEADILAN.


"Justeru kongres ini mestilah menjadi medan untuk merangkul kekuatan kita dengan penuh kejujuran dan mencetuskan kebangkitan."


Omar juga menegaskan AMK perlu berani mengakui kelemahan, matang menerima teguran serta mempunyai jiwa besar untuk melakukan pembaikan.


Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN 2026 ini turut dihadiri Ketua Pemuda AMANAH, Hasbi Muda dan Ketua DAPSY Melaka Raja Ahmad Iskandar Fareez.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page