top of page

Amirudin teruskan program 30 Hari 30 Ayat, semarakkan penghayatan Al-Quran

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 49m
  • 1 min read

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar), mengajak umat Islam menjadikan Ramadan kali ini sebagai peluang membaca, mendalami dan memahami al‑Quran.


Beliau berkata, pada tahun ini, pihaknya meneruskan program 30 Hari 30 Ayat dengan bacaan yang memfokuskan Surah Al-Mulk, yang mengingatkan umat Islam tentang kekuasaan Allah SWT, hakikat kehidupan serta tanggungjawab sebagai hamba.


"Setiap bacaan ini akan disusuli tadabbur ringkas oleh ustaz jemputan yang akan menghuraikan mesej ayat tersebut supaya lebih dekat dengan realiti kehidupan hari ini.


"Saya mengajak semua untuk bersama menyertai perjalanan ini dan menghidupkan Ramadan dengan bacaan serta kefahaman al-Quran," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.


Program 30 Hari 30 Ayat yang bermula pada 2023 dan kini memasuki edisi keempat bertujuan memberi pedoman, menyemarakkan penghayatan al-Quran serta mengajak umat Islam memelihara hati dan jiwa sepanjang bulan Ramadan yang mulia.


Program ini akan disiarkan setiap hari menerusi platform media sosial rasmi beliau dan Media Selangor bagi memudahkan orang ramai mengikuti bacaan serta tadabbur sepanjang Ramadan.


Sementara itu Amirudin memaklumkan, bacaan dan penghayatan Surah Al-Mulk akan dibimbing oleh Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi bersama dua lagi pembimbing jemputan.


Naib Presiden KEADILAN itu berharap usaha kecil menerusi penganjuran program berkenaan dapat menjadi asbab kepada pertambahan iman dan rasa syukur di samping membawa keberkatan dalam kehidupan seharian bersama keluarga serta pembangunan negeri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page