top of page

AMANAH tidak bertanding PRN Sarawak, tumpu persiapan hadapi PRU16

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
7 hours ago
2 min read
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu. Gambar arkib
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu. Gambar arkib

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengambil keputusan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada 12 Disember depan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.


Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata parti itu akan menggembleng seluruh usaha, sumber dan tenaga bagi memperkukuh persiapan menghadapi pilihan raya umum yang semakin hampir.


"Kita akan menumpukan kepada pilihan raya umum yang semakin dekat," katanya dipetik TVS selepas menyampaikan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional Amanah 2026, hari ini.


Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, beliau turut memahami pengorbanan ahli parti yang telah menghabiskan banyak wang, masa dan tenaga sepanjang kempen pilihan raya negeri di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.


Keputusan itu turut memperlihatkan tumpuan AMANAH untuk memperkukuh kedudukan parti dalam menghadapi persaingan politik nasional, khususnya susulan perkembangan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di beberapa negeri.


Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad mengingatkan ahli AMANAH yang bernaung di bawah Pakatan Harapan (PH) supaya membuat persediaan rapi menghadapi PRU16.


Beliau berkata, kerjasama pilihanraya BN-PN yang berlaku di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka berpotensi mengubah landskap persaingan politik, termasuk mewujudkan lebih banyak pertandingan satu lawan satu.


Dalam pada itu, beliau memberi amaran bahawa penggunaan sentimen kaum dan agama berasaskan fahaman asabiyyah demi meraih kuasa politik boleh menghakis prinsip keadilan.


Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan masyarakat mempertahankan perbuatan zalim semata-mata atas nama penyatuan kelompok atau bangsa.


"Apabila kesetiaan kepada kelompok mengatasi kesetiaan kepada kebenaran, penyelewengan dipertahankan demi menjaga nama kumpulan. Sikap ini merosakkan pertimbangan kita," katanya.


Mohamad menjelaskan Islam tidak melarang semangat kekitaan atau kebanggaan terhadap bangsa sendiri, tetapi menolak sikap mempertahankan sesuatu kelompok secara membuta tuli meskipun melakukan kesalahan.


Sebaliknya, katanya, perjuangan Islam Rahmatan Lil Alamin menuntut umat Islam membela sesiapa sahaja yang dizalimi tanpa mengira kaum dan agama.


Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan kempen berasaskan kebencian kaum dan agama, sebaliknya mempertahankan prinsip kebenaran serta keadilan berdasarkan ilmu dan maklumat sahih.


Turut hadir pada konvensyen itu ialah Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page