Adakah Masa Depan Bagi Parti-Parti Politik Berasaskan Nilai?


Oleh: Hassan Abdul Karim
Parti Keadilan Rakyat berasaskan nilai Keadilan;
Parti Amanah Negara berasaskan nilai Amanah; dan
DAP berasaskan nilai Demokrasi.
Tiga buah parti politik yang disebutkan di atas yang membawa tiga nilai teras telah berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri, misalnya Selangor (2008 - kini); Pulau Pinang (2008-kini) dan Negeri Sembilan (2015-2026).
Manakala Pakatan Harapan (PH) nama gabungan bagi KEADILAN, AMANAH dan DAP telah berjaya menubuhkan dua kali Kerajaan Persekutuan iaitu PH 1.0 (Mei 2018- Feb 2020) dan PH 2.0 (Nov 2022 - kini).
Ada tempoh setahun lagi hingga akhir tahun depan 2027, sebelum Parlimen dibubar dan Pilihan Raya Umum (PRU) 16 diadakan untuk menentukan sama ada PH yang tidak ada ideologi tunggal, melainkan menggabungkan jenama politik berasaskan nilai dapat bertahan untuk menjadi Kerajaan Persekutuan selepas PRU-16 atau terpaksa tumbang dihanyutkan oleh gelombang biru-hijau yang membawa politik berasaskan kaum iaitu perpaduan Melayu?
BN-PN bukan perpaduan Melayu
Perpaduan Umno-Pas sebagai pemain utamanya bukanlah perpaduan Melayu-Islam. Naratif perpaduan Melayu-Islam itu adalah salah kerana ia bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam. Islam tidak pernah dan tidak akan membenarkan agama bersekutu dengan perjuangan berasaskan kaum ataupun assobiyah. Sejak dari zaman Rasullulah, Nabi Muhammad S.A.W. lebih 1,400 tahun lalu hingga kini dan selamanya Islam adalah agama yang menentang fahaman perkauman yang sempit.
Apa yang berlaku sekarang ini, yang mana fenomena perpaduan Melayu tersebut nampak wujud dengan jelas di Semenanjung Malaysia dalam tiga Pilihan Raya Negeri di Johor (11 Julai), Negeri Sembilan (1 Ogos)dan Melaka 14 November lalu ialah memperlihatkan bahawa Pas telah undur ke belakang, dari tujuan asal perjuangan yang jelas mengikut ajaran Islam tetapi kini mengambil jalan singkat untuk merujuk kembali ke pangkuan Umno demi mencapai kemenangan politik pilihanraya dan dapat berkuasa jadi Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
Bukan Umno yang merujuk kepada Pas tetapi sebaliknya, Pas yang merujuk ke pangkuan United Malay National Organisation, sebuah parti politik aliran kanan berideologi kaum yang membawa dasar Assobiyah yang berpuluh tahun selama ini ditentang oleh Pas sejak dari Presidennya ketika itu Dr Burhanuddin Helmy memimpin parti berkenaan.
Jika pada tahun 1951, Pas di waktu itu dalam rahim Umno sebagai embrio, dalam bentuk Biro Agama Umno telah keluar meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Islam SeMalaya (Pas) pada tahun 1951. Tetapi 75 tahun kemudiannya, pada tahun 2026, ternyata Pas di bawah Presidennya Abdul Hadi Awang telah menyerah kalah dan kembali kepada Umno, sebuah parti Melayu yang konservatif, aristokratik, elitis dan berideologi nasionalis kanan yang selama lebih 60 tahun sejak berkuasa telah gagal membebaskan umat Melayu marhaen dari kemiskinan dan kemunduran sosio-ekonomi (melainkan sedikit kejayaan di zaman pentadbiran Allahyarhamah Tun Abdul Razak di bawah DEB).
Gugurnya perjuangan Islam
Dengan secara terbuka Pas bergabung dengan Umno, maka gugurlah perjuangan Islam Pas selama ini. Pas kini dilihat kerana kuasa bersedia menghalalkan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dengan rekod tindakannya mensucikan segala jenayah berkait 1MDB, SRC, penyelewengan Tabung Haji dan FELDA yang terang-terangan mengkhianati orang Melayu dan rakyat seluruh Malaysia.
Dalam senario yang dinyatakan di atas maka akan sampailah masanya pada PRU-16 akan datang bagi rakyat Malaysia memutuskan apakah tiga parti politik pelbagai kaum, gabungan dalam PH yang menjunjung perjuangan berasaskan nilai keadilan, amanah dan demokrasi untuk seluruh rakyat Malaysia akan ditolak untuk diganti dengan gabungan politik yang berideologikan sentimen perkauman dengan rekod rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah jenayah yang berskala global?
Kuasa pada tangan rakyat. Rakyatlah yang akan dapat kerajaan yang dipilihnya sendiri.
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang
,




Comments