Selangor peruntuk RM34 juta bantu bayar 50 peratus pinjaman PTPTN


Kerajaan Selangor memperuntukkan RM34 juta bagi tempoh dua tahun untuk membiayai 50 peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar anak negeri itu yang melanjutkan pengajian di Universiti Selangor (UNISEL) serta Universiti Islam Selangor (UIS) dan dijangka memberi manfaat kepada 4,000 mahasiswa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan RM17 juta disediakan tahun ini dan jumlah sama akan diperuntukkan pada tahun depan bagi meneruskan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Beliau berkata, bantuan itu membolehkan separuh daripada jumlah pinjaman pelajar dibiayai Kerajaan Negeri, sekali gus mengurangkan beban hutang pendidikan mereka.
"Tahun ini kita belanja RM17 juta, tahun depan kita belanja RM17 juta. Jadi RM34 juta.
"Sebab orang yang masuk di tahun kedua dan ketiga. Tahun ini bila mereka habis course itu, separuh kita bayar kepada PTPTN, automatik mereka tidak berhutang," katanya selepas merasmikan Perpustakaan Awam Selangor @Greenwood Gombak, hari ini.
Menurut Amirudin, sebagai contoh, sekiranya seseorang pelajar menerima pinjaman PTPTN sebanyak RM7,000 setahun, sebanyak RM3,500 daripada jumlah itu akan dibiayai Kerajaan Negeri.
"Misalnya setahun mereka dapat (pinjaman) RM7,000, RM3,500 telah dibiayai kerajaan negeri," katanya.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membantu mengurangkan beban kewangan pelajar serta memastikan akses kepada pendidikan tinggi terus diberi perhatian.




Comments