Perlindungan, kesejahteraan anak anak tanggungjawab bersama - Dr Wan Azizah


Perlindungan, kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak perlu menjadi tanggungjawab bersama seluruh lapisan masyarakat bagi memastikan generasi muda membesar dalam persekitaran yang selamat, sihat dan berpeluang mengembangkan potensi diri.
Perkara itu ditegaskan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menyempurnakan Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2026 bertemakan “Impian dan Hak Masa Depan Kami” di Pusat Sains Negara, hari ini.
Beliau berkata, kanak-kanak merupakan amanah dan aset berharga negara yang perlu diberikan perhatian, perlindungan serta peluang yang adil tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, usaha memastikan hak kanak-kanak dipelihara memerlukan komitmen bersama menerusi pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society.
Pendekatan itu menuntut kerjasama strategik antara kementerian dan agensi kerajaan, selain penglibatan aktif keluarga, komuniti, masyarakat sivil, institusi pendidikan serta sektor industri.
Kerjasama bersepadu berkenaan penting bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang sewajarnya untuk hidup selamat, menyuarakan pandangan dan mengejar impian mereka.
Kesihatan ibu dan anak jadi keutamaan
Dalam pada itu, Wan Azizah turut menekankan kepentingan memperkukuh kesihatan dan kesejahteraan ibu serta anak, termasuk menangani isu pemakanan tidak seimbang dan masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.
Usaha berkenaan perlu dilaksanakan melalui peningkatan kesedaran, pemantauan tumbesaran serta intervensi awal bagi memastikan perkembangan kanak-kanak berada pada tahap sewajarnya.
Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan tahun ini membawa mesej bahawa setiap kanak-kanak berhak menikmati kehidupan yang selamat, mendapat peluang sama rata dan membina masa depan berdasarkan potensi masing-masing.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ts. Dr Nagulendran Kangayatkarasu.




Comments