AMANAH tangguh konvensyen, tumpu kempen PH PRN di Melaka


Parti Amanah Negara (AMANAH) menangguhkan Konvensyen Amanah Nasional yang dijadualkan pada 14 dan 15 November ini kepada 21 dan 22 November bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKP) parti berkenaan dalam mesyuarat malam tadi selepas mengambil kira hari pengundian PRN Melaka bertembung dengan tarikh konvensyen berkenaan.
Beliau berkata, konvensyen yang dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 November itu akan diadakan pada 21 dan 22 November di Shah Alam, Selangor.
"Sehubungan dengan itu, Amanah Nasional mengarahkan jentera AMANAH di seluruh negara untuk memberikan tumpuan dan bersama-sama turun membantu gerak kerja kempen Pakatan Harapan dalam PRN Melaka ini bagi memastikan perubahan besar berlaku dalam PRN Melaka ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Faiz berkata, AMANAH melihat PRN Melaka sebagai peluang terbaik untuk rakyat menolak politik yang disifatkannya sebagai politik sakau dan pukau.
"AMANAH percaya bahawa PRN Melaka ini merupakan peluang terbaik bagi rakyat menolak politik sakau dan pukau supaya keadilan dan kemakmuran dalam negara terutama di negeri Melaka dapat ditegakkan," katanya.
Menurutnya, keputusan menangguhkan konvensyen itu membolehkan jentera parti memberi tumpuan kepada usaha membantu kempen Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Melaka.
AMANAH berharap penglibatan seluruh jentera parti dapat membantu PH mencapai perubahan besar dalam pilihan raya berkenaan, sekali gus memperjuangkan agenda keadilan dan kemakmuran untuk rakyat Melaka.




Comments