Anwar Ibrahim: Kisah Yang Dirakam bakal dilancarkan Mac 2027


Sebuah buku yang mengisahkan perjalanan perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal penglibatannya dalam arena aktivisme dan politik dijangka dilancarkan pada Mac tahun depan.
Buku bertajuk Anwar Ibrahim: Kisah Yang Dirakam terbitan Pertubuhan Kepedulian dan Keprihatinan Insan Malaysia (Malaysia Peduli) itu menelusuri detik-detik penting perjuangan beliau sehingga diamanahkan memimpin negara.
Disusun secara kronologi, naskhah ini mengandungi himpunan fotografi, bahan arkib, dokumen serta catatan menarik. Ia juga akan dicetak dalam dwibahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, menyifatkan buku berkenaan amat penting sebagai panduan dan iktibar, khususnya buat generasi muda.
"Naskhah ini saya fikir cukup penting untuk generasi muda khususnya mengetahui sejarah perjalanan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dirakamkan di dalam sebuah buku, supaya ia dapat menjadi panduan, pengajaran serta iktibar kepada masyarakat hari ini," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Coffee Table Book tersebut di Putrajaya, semalam.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Malaysia Peduli, Nor Sham @ Ann Abu Samah.
Muhammad Kamil sementara itu berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa naskhah itu telah siap, namun beberapa penambahbaikan masih perlu dilakukan sebelum pelancaran rasmi.




Comments