Perpaduan bukan sekadar hidup bersama, saling hormat, peluang adil


Perpaduan dalam masyarakat majmuk bukan sekadar hidup bersama dalam sebuah negara, sebaliknya menuntut sikap saling menghormati, memahami serta memberikan peluang yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang dimiliki Malaysia merupakan satu keistimewaan yang perlu dipelihara daripada ancaman sentimen perkauman, prasangka dan diskriminasi.
Beliau berkata, usaha memperkukuh perpaduan juga perlu disertai tindakan menangani jurang sosioekonomi bagi memastikan tiada rakyat dipinggirkan akibat diskriminasi.
"Dalam ucaptama saya, satu perkara yang saya tekankan ialah perpaduan bukan sekadar hidup bersama dalam sebuah negara, tetapi tentang bagaimana kita saling menghormati, memahami dan memberikan peluang yang adil kepada semua tanpa mengira latar belakang," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kebangsaan Antidiskriminasi Ke-13 anjuran Pusat KOMAS.
Yuneswaran turut menyeru semua pihak, khususnya pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pempengaruh media sosial, supaya tidak menjadikan isu kaum dan agama sebagai bahan untuk mencetuskan kebencian atau meraih kepentingan tertentu.
Menurutnya, perbezaan pandangan, budaya dan kepercayaan tidak seharusnya menjadi punca keretakan hubungan dalam kalangan masyarakat.
"Kita boleh berbeza pandangan, budaya dan kepercayaan, tetapi jangan sampai perbezaan itu merosakkan hubungan sesama kita," katanya.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus mendukung prinsip Rukun Negara serta usaha memperkukuh keharmonian dan keadilan sosial demi kesejahteraan seluruh rakyat.
Yuneswaran berkata, Malaysia perlu dilihat sebagai rumah bersama yang menyatukan rakyat berbilang kaum, bukannya membiarkan perbezaan menjadi faktor pemisah.
"Malaysia ini rumah kita bersama. Jangan biarkan perbezaan memisahkan kita, sebaliknya jadikan kepelbagaian sebagai kekuatan untuk membina masa depan yang lebih baik buat semua.
"Kerana akhirnya, perpaduan bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi tanggungjawab setiap daripada kita," katanya yang juga Ahli Parlimen Segamat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Pusat KOMAS, Jerald Joseph; Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Nikolas Myint; Penasihat Antidiskriminasi Kaum bagi Asia dan Pasifik, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR), Hanae Hanzawa; serta Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Melissa Akhir.
Persidangan itu turut menghimpunkan ahli panel, wakil agensi kerajaan, diplomat, pertubuhan masyarakat sivil dan pelajar bagi membincangkan usaha menangani diskriminasi serta memperkukuh keharmonian masyarakat.




Comments