Persekutuan, Sarawak perkukuh bandar pintar Greater Kuching


Kementerian Komunikasi terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi memperluas kesalinghubungan digital di negeri itu khususnya bagi transformasi perkhidmatan bandar.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, usaha itu dilaksana menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT).
"Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk memanfaatkan teknologi digital, data dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, memperkukuh keselamatan awam, memperluas akses digital serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat dan sektor perniagaan, selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030).
"Pelaksanaan projek ini akan memberikan tumpuan awal kepada kawasan Grater Kuching merangkumi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
"Ini selari aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 untuk menyokong penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih cekap dan responsif terhadap keperluan rakyat," katanya dalam kenyataan.
Majlis pertukaran dokumen MoU disempurnakan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Tetap MPHLG, Datu Elizabeth Loh.
Acara berlangsung di Dewan Undangan Negeri Sarawak itu disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil
Antara skop utama kerjasama termasuk pembangunan perkhidmatan bandar pintar berasaskan AI dan data, platform bandar bersepadu, pengukuhan infrastruktur rangkaian teras serta penyediaan kemudahan Wi-Fi awam.
Menurut kenyataan tersebut, inisiatif akan turut merangkumi pemantauan keselamatan bandar, sokongan tindak balas kecemasan, penggunaan teknologi kembar digital (digital twin) dan pembangunan Pusat Operasi Rangkaian (Network Operations Centre, NOC).
Pelaksanaan projek juga akan mengambil kira aspek keterangkuman digital, keselamatan siber, perlindungan data serta tadbir urus yang bertanggungjawab.
Menerusi inisiatif berkenaan, penduduk dijangka menikmati penyampaian perkhidmatan bandar yang lebih cekap dan responsif, termasuk penambahbaikan pengurusan trafik, kemudahan awam serta tindakan terhadap insiden dan kecemasan.




Comments