Agong perkenan tamat darurat jerebu di seluruh Serian, Sarawak
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 1 min read

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memperkenankan penamatan pengisytiharan darurat bagi seluruh Bahagian Serian, Sarawak yang sebelum ini diisytiharkan susulan keadaan jerebu.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan perkenan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri serta pandangan Premier Sarawak dan laporan agensi berkaitan.
"Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Bahagian Serian kini tidak lagi berada pada paras bahaya.
"Bagaimanapun, keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya apabila bacaan IPU di beberapa kawasan khususnya Serian dan Samarahan, masih berada pada tahap amat tidak sihat," kata kenyataan itu hari ini.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak akan terus memantau keadaan dengan rapi, menurut kenyataan itu.
"Penduduk di kawasan yang terjejas turut dinasihatkan mengehadkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.
Setakat pukul 7.30 pagi hari ini, sebanyak 40 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat manakala Kota Samarahan, Sarawak mencatat bacaan 222 iaitu tahap sangat tidak sihat.
Di Semenanjung, antara kawasan yang merekodkan bacaan tinggi ialah Shah Alam dan Nilai masing-masing 166, manakala Batu Muda, Putrajaya dan Seremban masing-masing mencatat 163.
Johan Setia, Selangor pula merekodkan IPU 184.




Comments