top of page

ADUN Sijangkang berkecuali undi Belanjawan 2027, apakah ada cadangan alternatif?

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
32 minutes ago
2 min read
Datin Faizah meluahkan rasa kesalnya terhadap sikap Dr Ahmad Yunus
Datin Faizah meluahkan rasa kesalnya terhadap sikap Dr Ahmad Yunus

Tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang, termasuk ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, yang didakwa berkecuali dalam undian belah bahagi Belanjawan Selangor 2027 minggu lalu, menimbulkan persoalan mengenai asas pendirian mereka.


Naib Ketua KEADILAN Cabang Kuala Langat, Datin Faizah Ariffin berkata, Ahmad Yunus perlu menjelaskan rasional sebenar beliau memilih untuk berkecuali dalam pengundian berkenaan, termasuk sama ada keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan dan persetujuan masyarakat Sijangkang.


"Apakah peruntukan dalam Belanjawan ini yang tidak dipersetujui sehingga beliau memilih untuk tidak memberikan sokongan?


"Apakah cadangan alternatif beliau dalam menangani masalah banjir, pembangunan infrastruktur, kos sara hidup serta kebajikan masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang?


"Apakah tindakan beliau bagi memastikan seluruh masyarakat Sijangkang mendapat manfaat sewajarnya daripada peruntukan yang telah diluluskan?" soalnya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung isu tersebut yang diadakan di sebuah restoran di Sijangkang semalam yang turut dihadiri Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.


Faizah turut menegaskan bahawa rakyat berhak mendapat penjelasan daripada wakil rakyat mereka berhubung pendirian tersebut.


Katanya, kepentingan dan kebajikan rakyat perlu sentiasa diutamakan mengatasi perbezaan politik.


"Kami menghormati perbezaan ideologi politik serta hak setiap wakil rakyat untuk membahaskan, mengkritik dan memberikan pandangan terhadap Belanjawan Negeri.


"Namun dalam perkara melibatkan keperluan mendesak rakyat, semua pihak perlu mengambil sikap kebersamaan dan mengenepikan ego politik dan mengutamakan kepentingan masyarakat," ujarnya lagi.


Terdahulu, media melaporkan, Persidangan DUN Selangor kecoh apabila tujuh ADUN pembangkang yang didakwa berkecuali dalam undian belah bahagi itu.


DUN Selangor meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 berjumlah RM3.3 bilion pada 20 November lalu dengan 42 undi menyokong, tujuh berkecuali dan tujuh lagi tidak hadir.


Belanjawan tersebut merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk pembangunan, berbanding anggaran hasil negeri sebanyak RM2.85 bilion.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page