top of page

Hormati keputusan tidak bertanding, perjuangan rakyat Santubong diteruskan

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
2 hours ago
2 min read
Ketua Cabang KEADILAN Santubong, Ahmad Nazib Johari
Ketua Cabang KEADILAN Santubong, Ahmad Nazib Johari

Keputusan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 tidak menghalang parti itu daripada meneruskan usaha mendekati masyarakat dan memperjuangkan kebajikan rakyat.


Ketua Cabang KEADILAN Santubong, Ahmad Nazib Johari berkata keputusan kepimpinan parti itu diterima dengan penuh disiplin dan kematangan politik meskipun persiapan menghadapi pilihanraya telah dilakukan sebelum ini.


Beliau sebelum ini disebut-sebut sebagai bakal calon KEADILAN bagi kerusi DUN Demak Laut pada PRN Sarawak akan datang.


"Susulan keputusan kepimpinan parti untuk tidak meletakkan calon dalam PRN Sarawak, perkara tersebut diterima dan dihormati atas prinsip disiplin, kematangan politik serta semangat organisasi," katanya dalam satu kenyataan.


KEADILAN Sarawak pada 24 November lalu mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dan muafakat politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.


Keputusan itu turut mengambil kira kepentingan memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan selain memperkukuh kerjasama antara kedua-dua kerajaan dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat.


PRN Sarawak kali ini dijadualkan berlangsung pada 12 Disember manakala penamaan calon ditetapkan pada 28 November.


Ahmad Nazib berkata hubungan konstruktif antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan termasuk dalam aspek infrastruktur, ekonomi dan kebajikan rakyat.


Beliau mengakui keputusan tidak bertanding itu mungkin menimbulkan persoalan dan kekecewaan dalam kalangan anggota serta penyokong parti khususnya mereka yang telah menggembleng tenaga, masa dan komitmen sepanjang persiapan pilihanraya.


Bagaimanapun, katanya keputusan berkenaan tidak bermakna perjuangan membela kepentingan rakyat Sarawak terhenti.


"Dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-13, setiap pengundi mempunyai hak dan kebebasan untuk menentukan pilihan masing-masing berdasarkan pertimbangan yang rasional, integriti calon, rekod perkhidmatan, dasar yang ditawarkan serta kepentingan masa depan Sarawak.


"Hak demokrasi setiap pengundi harus dihormati tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak," katanya.


Ahmad Nazib yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata KEADILAN Cabang Santubong akan terus berkhidmat kepada masyarakat serta memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.


Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh anggota, jentera, penyokong KEADILAN serta masyarakat yang selama ini memberikan kepercayaan dan sokongan kepadanya.


"Komitmen saya bersama KEADILAN Cabang Santubong untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, memperjuangkan kebajikan rakyat serta memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan tetap diteruskan.


"Tidak bertanding bukan bererti berhenti berkhidmat. Tanggungjawab kepada rakyat melangkaui musim pilihan raya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page