Ibu bapa hadir ambil bantuan RM200, PM mahu guru tegur disiplin anak


Ibu bapa perlu hadir sendiri ke sekolah bagi menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM200 untuk setiap anak tahun depan bagi memastikan mereka turut mengambil bahagian dalam proses pendidikan serta memahami perkembangan dan disiplin anak masing-masing.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu tidak seharusnya diserahkan begitu sahaja kepada murid untuk dibawa pulang sebaliknya kehadiran ibu bapa ke sekolah perlu dimanfaatkan bagi membolehkan mereka bertemu guru dan menerima nasihat mengenai pendidikan serta tingkah laku anak.
"Untuk tahun hadapan semua anak-anak akan dapat RM200 ringgit. Tetapi berdasarkan pengalaman, kita minta ibu bapa datang ke sekolah, kita tak serah wang itu ke rumah kerana kita nak ibu bapa itu tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru dan guru boleh beri nasihat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Prakarsa AI Pendidikan Negara ‘AI Temu AI’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.
Atur program guru, ibu bapa
Anwar yang pernah menjadi Menteri Pendidikan berkata pihak sekolah perlu mengatur program yang membolehkan ibu bapa bertemu guru ketika penyerahan bantuan itu termasuk mendapatkan maklumat mengenai sikap dan perkembangan anak mereka sepanjang berada di sekolah.
"Jadi dia harus tahu bahawa yang membantu mendidik anak-anak mereka itu ialah para guru dan kalau tak datang ke sekolah Fadhlina jangan bagi wang itu," katanya merujuk Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau turut meminta guru besar dan pengetua mengambil maklum perkara itu serta memastikan sesi pertemuan antara ibu bapa dan guru dilaksanakan ketika penyerahan bantuan berkenaan.
Menurut beliau, ruang itu penting supaya guru dapat menyampaikan maklumat kepada ibu bapa sekiranya anak mereka mempunyai masalah disiplin atau tingkah laku yang perlu diberikan perhatian.
"Guru-guru harus beritahu anaknya kadang nakal, kadang suka curi pensel orang. Ada tak kawan curi pensel? Kecil-kecil di sekolah curi pen, curi pensel. Dah besar esok, curi projek.
"Kecil-kecil diajar pukul orang, bila besar esok, jadi samseng. Tidak boleh," katanya.
Anwar menegaskan pendidikan bukan hanya bertujuan meningkatkan kecerdasan dan penguasaan ilmu sebaliknya turut membentuk manusia yang mempunyai akhlak, disiplin serta keperibadian baik.
Tegas beliau tanggungjawab mendidik anak tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada sekolah dan guru kerana ibu bapa juga mempunyai peranan besar dalam membentuk sahsiah anak-anak.
"Saya akui soal disiplin, soal buli, soal moral yang juga menjadi tanggungjawab guru di sekolah, kesedaran anak-anak. Tetapi jangan diserahkan semua kepada sekolah. Ibu bapa juga harus ditegur dengan tanggungjawab," katanya.




Comments