Kerajaan perkukuh keselamatan siber hadapi era pascakuantum


Persediaan keselamatan siber negara perlu terus diperkukuh bagi menghadapi era pascakuantum, khususnya dalam memastikan komunikasi dan infrastruktur digital negara tidak mudah ditembusi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkembangan semasa menuntut pendekatan keselamatan lebih menyeluruh bagi melindungi data daripada ancaman penggodaman dan kecurian maklumat.
Justeru, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi keutamaan kepada aspek keselamatan infrastruktur digital termasuk rangkaian telekomunikasi, menara komunikasi serta kabel gentian optik.
"Trend dalam dunia sekarang bukan hanya ke arah kriptografi kuantum, tetapi juga komunikasi selamat kuantum bagi memastikan segala data yang disalurkan melalui talian telekomunikasi, gelombang mikro dan sebagainya tidak boleh dipecah masuk, dicuri atau digodam penjenayah," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu pada sidang media selepas merasmikan NEXSEC 2026: Memperkasa Ketahanan Siber Melalui Kolaborasi, Inovasi dan Pembangunan Kompetensi di Kuala Lumpur, pada Rabu.
NEXSEC 2026 yang berlangsung selama dua hari menghimpunkan wakil kerajaan, agensi keselamatan, industri, institusi pengajian tinggi dan negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman siber.
Sementara itu menurut Fahmi, meskipun pelbagai langkah pencegahan sudah dilaksanakan kerajaan dan syarikat telekomunikasi, penjenayah siber akan terus mencari ruang baharu untuk memperdaya mangsa.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur digital bertaraf dunia perlu disertai sistem keselamatan siber yang kukuh.
"Apabila satu pintu ditutup, pihak yang berniat jahat ini akan mencari pintu lain, tingkap lain atau celahan kecil untuk menyusup masuk
"Kerjasama antara kerajaan, industri dan masyarakat perlu diperkukuh bagi memastikan keselamatan ruang digital negara terus terpelihara," tambahnya.




Comments