ADUN Bukit Batu desak saluran bantuan Gaza dibuka tanpa halangan
- Suara Keadilan

- Oct 6
- 2 min read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern (gambar), menggesa agar saluran bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka segera tanpa sebarang halangan, susulan insiden yang menimpa aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini.
Arthur menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap keselamatan aktivis yang membawa bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu dan menegaskan tindakan menghalang misi sebegitu oleh rejim Israel tidak boleh diterima.
"Saya menzahirkan rasa prihatin mendalam terhadap insiden yang menimpa aktivis Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza. Perkara ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan keselamatan sukarelawan serta kelangsungan misi bantuan yang sangat diperlukan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menekankan bahawa menghalang bantuan kemanusiaan adalah isu sejagat yang melangkaui batas politik, justeru perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat antarabangsa.
"Tindakan menghalang bantuan kemanusiaan adalah satu perkara yang merentasi isu politik dan wajar diberi perhatian serius oleh komuniti antarabangsa. Rakyat Gaza ketika ini amat bergantung kepada sokongan kemanusiaan bagi menghadapi krisis berpanjangan," tegasnya.
Arthur turut menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antarabangsa lain agar segera campur tangan bagi menjamin keselamatan aktivis dan memastikan bantuan sampai kepada rakyat Gaza.
“Saya menyeru badan-badan antarabangsa, khususnya PBB, agar mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan aktivis yang terlibat serta memastikan saluran bantuan kemanusiaan dapat diteruskan tanpa halangan,” katanya.
Sebagai wakil rakyat, beliau menegaskan pendiriannya untuk terus bersama masyarakat antarabangsa mendukung nilai kemanusiaan, keadilan dan solidariti terhadap rakyat Palestin.
"Sebagai wakil rakyat, saya berdiri bersama masyarakat antarabangsa dalam mendukung nilai kemanusiaan, keadilan, dan solidariti dengan rakyat Palestin yang sedang menderita," ujar Arthur.
Untuk rekod, meskipun 23 sukarelawan GSF warga Malaysia telah dibebaskan dan akan pulang ke tanah air hari ini, namun terdapat warganegara Malaysia yang akan masuk ke zon kuning perairan antarabangsa Gaza untuk meneruskan misi bantuan. Rakyat Malaysia berharap Israel tidak akan mengambil tindakan sekali lagi 'menculik' sukarelawan ini.









Comments