50,000 keluarga terima bantuan Baucar Kita Selangor bermula bulan ini
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Seramai 50,000 keluarga berpendapatan rendah di Selangor bakal menerima bantuan RM100 sebulan selama enam bulan menerusi program Baucar Kita Selangor bermula 30 Jun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, bantuan yang bertujuan meringankan kos sara hidup itu merupakan sebahagian inisiatif utama di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1 yang diumumkan kerajaan negeri pada April lalu.
"Penerima bantuan sedang dikenal pasti menerusi beberapa pangkalan data sedia ada termasuk Inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), eKasih dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
"Kami akan meneliti senarai penerima pada 22 hingga 23 Jun sebelum mengumumkan mereka yang layak menerima bantuan ini," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Daya Tahan Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada Isnin.
Tambah Amirudin, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif memasukkan sebahagian pemohon yang tidak layak atau masih berada dalam senarai permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) untuk pertimbangan bagi bantuan baucar tersebut.
"Proses semakan akan dibuat secara menyeluruh termasuk terhadap pemohon BINGKAS yang masih belum layak atau tidak terpilih berikutan kuota sebanyak 30,000 telah penuh.
"Daripada rekod permohonan BINGKAS, mereka yang tidak layak atau masih dalam proses permohonan akan dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam senarai penerima Baucar Kita Selangor tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan," tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) akan diperluaskan di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
"Sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk program JER, termasuk tambahan RM5 juta menerusi pakej ini," ujarnya.




Comments