Zon industri perikanan 600 ekar Selangor, perkukuh keterjaminan makanan
- Suara Keadilan

- Apr 26
- 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh keterjaminan makanan di negeri itu dengan melancarkan Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) seluas 600 ekar di Sungai Lang di Sabak Bernam pada Sabtu.
Dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, ZIPS merupakan inisiatif strategik di bawah Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan akan dilaksanakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Projek berimpak tinggi yang terletak berdekatan dengan zon perikanan utama negara, Hutan Melintang Perak itu akan dibangunkan sebagai ekosistem bersepadu yang merangkumi aktiviti akuakultur marin dan air tawar serta turut dilengkapi pusat pemprosesan hasil laut, logistik, kemudahan rantaian sejuk beku serta penyelidikan dan inovasi.
"ZIPS bukan sekadar berfungsi sebagai pusat penyimpanan dan pengedaran ikan mentah, sebaliknya dibangunkan bagi memperkukuh rantaian nilai industri perikanan.
"Projek itu memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran, termasuk penghasilan makanan diproses dan produk bernilai tambah.
"Melalui pembangunan ini, kita mahu menghasilkan produk kedua dan seterusnya seperti makanan diproses, sekali gus meningkatkan nilai ekonomi sektor perikanan," kata Amirudin dipetik pada majlis pelancaran projek itu.
Hadir sama pada acara itu ialah Exco Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail, Exco Pelancongan Datuk Ng Suee Lim, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Datuk Ts Saipolyazan M Yusop dan Pegawai Daerah Sabak Bernam Sadikin Sadin.
Sementara itu tambah Amirudin, pembangunan awal projek berkenaan memerlukan pelaburan sekitar RM100 juta hingga RM200 juta bagi penyediaan infrastruktur asas seperti jalan, bekalan air dan elektrik.
"Potensi ekonomi dan peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan adalah sangat besar kepada penduduk tempatan, selain memperkukuh rantaian industri melibatkan sektor perikanan, logistik dan pemprosesan," tambahnya.




Comments