top of page

Ziarah Kasih ruang fahami masalah isu kesihatan, kebajikan rakyat

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
58 minutes ago
2 min read
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama calon DUN Paya Rumput, Datuk Azman  (kiri sekali) dalam program Ziarah Kasih di Taman Paya Rumput Permai
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama calon DUN Paya Rumput, Datuk Azman (kiri sekali) dalam program Ziarah Kasih di Taman Paya Rumput Permai

Program Ziarah Kasih bukan sekadar kunjungan bertemu masyarakat, sebaliknya menjadi platform untuk memahami secara lebih dekat permasalahan kesihatan dan kebajikan yang dihadapi rakyat.


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan turun padang itu penting bagi membolehkan pemimpin mendengar sendiri kesulitan dihadapi penduduk, selain mengenal pasti isu lebih besar yang mungkin memerlukan perhatian pihak berkaitan.


Beliau berkata demikian ketika mengadakan program Ziarah Kasih di Taman Paya Rumput Permai, hari ini, bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin.


Masalah kesihatan


Menurut Fahmi, kunjungan berkenaan turut memberi peluang kepada pihaknya memahami isu tempoh menunggu untuk menjalani pembedahan di hospital kerajaan yang dihadapi penghuni rumah terbabit, selain masalah penglihatan.


Katanya, isu berkenaan memerlukan penelitian lanjut supaya kesulitan yang dialami individu dapat difahami dengan lebih mendalam, termasuk kemungkinan wujud permasalahan lebih menyeluruh dalam sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan.


"Ini program yang penting untuk kita mendekati dan menyantuni rakyat serta cuba memahami isu yang dihadapi individu, khususnya mereka yang mungkin mempunyai masalah kesihatan dan kebajikan.


"Kita boleh luangkan sedikit masa untuk memahami dengan lebih mendalam, bukan hanya masalah yang dihadapi seorang individu, tetapi mungkin juga isu yang lebih sistemik ataupun bersifat menyeluruh," katanya.


Sementara itu, Azman berkata, aktiviti ziarah masyarakat sememangnya menjadi sebahagian daripada rutin beliau sebagai ahli politik.


Namun penglibatan dalam program berkenaan kali ini turut memberinya peluang memahami keperluan penduduk di kawasan yang ditandingi.


Katanya, DUN Paya Rumput mempunyai kelompok masyarakat berpendapatan sederhana dan rendah yang memerlukan perhatian, justeru pendekatan mendekati rakyat secara bersemuka penting bagi mengenal pasti permasalahan mereka.


"Ziarah kasih memang di seluruh Malaysia dan menjadi sebahagian daripada rutin biasa saya sebagai ahli politik.


"Tetapi kali ini, apabila saya bertanding sebagai calon, saya melihat program ini sebagai peluang untuk memahami dengan lebih dekat masalah luar biasa yang dihadapi masyarakat, khususnya mereka yang sakit dan memerlukan bantuan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page