Jangan seleweng dana usahawan, tindakan tegas diambil - Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tindakan tegas termasuk pendakwaan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan dana pembiayaan kerajaan khususnya membabitkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Perdana Menteri berkata setiap dana yang disediakan kerajaan untuk membantu usahawan dan golongan berpendapatan rendah merupakan wang amanah yang mesti diuruskan dengan penuh tanggungjawab tanpa sebarang ketirisan atau penyelewengan.
"Sebab itu saya bagi amaran. Steven Sim (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) tahu, tiap dana, baik TEKUN, baik Bank Rakyat, baik Amanah Ikhtiar, kita jaga betul-betul, ini wang amanah, kamu langgar, kamu ditangkap dan didakwa.
"Ini baru boleh selamat negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran MPKJ, Stadium Kajang, Kajang hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fahlina Sidek.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia Datuk Zainal Abidin Abd Majid.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha memperkukuh bantuan kepada rakyat tidak akan membawa hasil sekiranya dana yang diperuntukkan kerajaan tidak diuruskan dengan baik atau menjadi sasaran pihak yang mengambil kesempatan.
Menurutnya kerajaan kini mampu menambah peruntukan kepada pelbagai sektor termasuk pendidikan, keusahawanan dan kebajikan rakyat kerana usaha membanteras ketirisan serta rasuah membolehkan wang negara dimanfaatkan dengan lebih berkesan.
"Ada orang nak pertikai dalam media sosial ini, tengok macam mana boleh cukai kurang, hasil pendapatan negara kurang, tapi peruntukan tambah.
"Sebab dia tak bocor, sebab tak sakau, sebab tak rasuah. Insya-Allah ada berkat dan kita tolong rakyat, itu tujuan kita," katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mempertahankan individu yang melakukan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa hanya kerana mereka mempunyai kedudukan, pengaruh atau latar belakang tertentu.
Katanya budaya mempertahankan salah laku atas alasan kepentingan kaum atau politik hanya akan merosakkan nilai integriti dan menyebabkan masyarakat gagal membezakan antara perbuatan baik dengan kemungkaran.
"Kalau tidak, orang yang bantu kita, kita kecam. Orang yang dok ambil harta kita dan sakau, puluh tahun tidak ada peruntukan, kita puji. Apa jadi? Semua terpengaruh.
"Yang benar dikatakan palsu. Padahal kita diperintahkan untuk melakukan perkara maaruf dan dilarang melakukan kemungkaran dan beriman kepada Allah. Kita diseru untuk menegakkan yang baik, menolak yang mungkar," katanya.
Beliau turut membangkitkan isu kehilangan wang dan penyelewengan membabitkan institusi seperti Tabung Haji dan FELDA sebagai contoh perbuatan salah yang tidak sepatutnya dipertahankan atas nama kaum.
"Ini kita pertahankan yang mungkar, tak apa curilah berbilion pun. Tabung Haji ke, FELDA, tak apa. Sebab, ini Melayu, jangan tegur. Melayu mana ajar?" tegur Anwar dengan penuh serius.
Perdana Menteri berkata pendidikan nilai, akhlak dan integriti perlu diperkukuh supaya masyarakat tidak hanya mengejar kejayaan dalam bidang akademik atau kerjaya tetapi turut memahami tanggungjawab menjaga amanah.
"Saya ingat kita kecil-kecil pergi sekolah curi pensel pun ibu bapak kita marah. Balik kampung curi buah rambutan orang lain punya pun dia marah. Itu berapa? 10 biji buah rambutan harga 1 ringgit. Ini hilang 1 bilion, tak apa kita," ujarnya.
Jelas beliau, seseorang yang mempunyai ilmu dan kemahiran tinggi tidak membawa manfaat kepada negara sekiranya kepakaran itu digunakan untuk mencari ruang melakukan penyelewengan.
"Jadi pandai, jadi akauntan, jadi jurukira yang handal, tapi kerjanya cari jalan bagaimana nak curi wang, untung dia biar jahanam institusi," katanya yang turut meminta Fadhlina meneliti tentang kepentingan pendidikan nilai dan akhlak.




Comments