Contohi peranan badan pemikir China membantu perancangan pembangunan


Malaysia wajar mempertimbangkan pendekatan China dalam memperkukuh perancangan pembangunan negara, khususnya menerusi penyelarasan kerajaan pusat dan tempatan serta pemerkasaan peranan badan pemikir di peringkat negeri.
Felo Penyelidik IDE Research Centre dan Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD) Universiti Selangor (UNISEL), ‘Atiqah Syairah Shaharuddin berkata, pengalaman China menunjukkan pembangunan berkesan bukan hanya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut memerlukan kesinambungan dasar, keupayaan institusi dan penyelarasan pelbagai peringkat pentadbiran.
Beliau berkata, perkara itu antara pengajaran yang diperoleh menerusi Seminar Medium and Long-Term Development Planning for Developing Countries anjuran International Cooperation Center, National Development and Reform Commission (NDRC) pada 14 Oktober hingga 3 November 2026.
Menurutnya, seminar yang berlangsung menerusi siri kelas, syarahan dan lawatan di Beijing, Suzhou serta Hangzhou itu memberi pendedahan mengenai pendekatan China menggabungkan perancangan strategik negara, pembangunan ekonomi, inovasi teknologi, pengukuhan institusi dan pembangunan sosial.
"Tumpuan kepada pendekatan ini ialah Rancangan Lima Tahun, yang kini sudah memasuki rancangan ke-15.

"Namun, pengajaran yang lebih penting ialah bahawa pembangunan tidak bergantung pada pertumbuhan ekonomi semata-mata. Ia turut memerlukan kesinambungan dasar, keupayaan institusi dan, yang paling utama, penyelarasan antara kerajaan pusat dan kerajaan tempatan supaya pelbagai sektor dapat dibangunkan secara serentak ke arah matlamat negara membangun," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas peranan badan pemikir, ‘Atiqah Syairah berkata, pengalaman Zhejiang Development Planning Institute menunjukkan bagaimana institusi penyelidikan boleh memainkan peranan khusus dalam menyediakan kajian dan analisis bagi menentukan hala tuju pembangunan wilayah.
Katanya, institusi itu mengunjurkan lebih 137 usul pembangunan bernilai 270 bilion yuan bagi 2026 untuk pelaksanaan di peringkat perbandaran.
Badan pemikir tingkat pembangunan usahawan kecil
Beliau turut mengetengahkan Haining Leather and Fashion Centre sebagai contoh bagaimana badan pemikir boleh menterjemahkan keperluan usahawan kecil kepada inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Katanya, pusat berkenaan diwujudkan hasil cadangan supaya produk kulit yang sebelum ini dijual secara individu tanpa jenama disatukan di bawah satu jenama tempatan.
"Pendekatan ini menunjukkan bagaimana pembangunan yang berpaksikan keperluan setempat dapat memberi manfaat langsung kepada penduduk.
"Setiap negeri di Malaysia yang ingin melahirkan jenama berteraskan kearifan lokal wajar mempertimbangkan peranan badan pemikir di peringkat kerajaan tempatan atau negeri," katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga mempunyai tradisi perancangan lima tahun menerusi Rancangan Malaysia, namun ruang penambahbaikan boleh diberikan melalui mekanisme maklum balas pemegang taruh pada pertengahan penggal.
Menurutnya, pengalaman China dalam mengumpulkan maklum balas awam tidak boleh dipindahkan secara langsung ke Malaysia berikutan perbezaan sistem politik, sebaliknya elemen yang bersesuaian perlu disesuaikan dengan konteks demokrasi berparlimen negara ini.
"Elemen seperti kitaran perancangan yang konsisten, peranan badan pemikir dan saluran maklum balas boleh disesuaikan dengan konteks demokrasi berparlimen kita.
"Sebagai contoh, Malaysia boleh mempertimbangkan satu platform koordinasi yang menghimpunkan ketua kampung dan ahli majlis kerajaan tempatan untuk menyalurkan maklum balas ke peringkat pertengahan penggal Rancangan Malaysia supaya pihak pelaksana di akar umbi turut berpartisipasi dengan aktif," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan tiga cadangan untuk dipertimbangkan dalam memperkukuh agenda pembangunan negara, iaitu mewujudkan model badan pemikir di peringkat negeri, memperkenalkan mekanisme maklum balas pemegang taruh pada pertengahan penggal Rancangan Malaysia dan menggalakkan inisiatif jenama tempatan berasaskan kearifan setiap negeri.
Katanya, pengalaman China itu boleh dijadikan asas perbandingan bagi memperkukuh agenda Malaysia MADANI, transformasi ekonomi digital dan tadbir urus negara.
"Kejayaan pembangunan tidak diukur hanya melalui pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur, tetapi juga melalui keupayaan membina institusi yang berdaya tahan, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan pembangunan kekal relevan pada masa hadapan," katanya.




Comments