Penjaja, peniaga kecil raih peruntukan RM1 juta, tingkat pendapatan - PM


Kerajaan memperuntukkan RM1 juta kepada persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara bagi membantu memperkukuh kegiatan perniagaan serta meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada persatuan kebangsaan untuk diselaraskan bersama di peringkat negeri supaya bantuan dapat diagihkan secara lebih teratur dan mencapai kumpulan sasaran.
"Jadi untuk penjaja, dia begini, saya tengok menteri dia pun recommand, menteri kata memang KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) ni bagi kerjasama yang baik,...untuk kali ini saya bagi RM1 juta ringgit, cukuplah ya.
"...saya mula nak umum RM100,000 saja. Tapi saya fikirkan berapa ratus ribu punya penjaja. Berapa syarikat ada. Berapa gerai ada. Berapa persatuan ada, seluruh negara. Jadi atur baik-baik dana itu dan bantu bagi penjelasan. Bantu supaya setiap tahun kita ada peningkatan pendapatan penjaja dan peniaga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran MPKJ, Stadium Kajang hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta kementerian berkenaan bekerjasama dengan persatuan berkaitan bagi menilai keberkesanan bantuan kerajaan menerusi perbandingan purata pendapatan penjaja dan peniaga kecil dalam tempoh tiga tahun lalu dengan tahun ini.
Kata beliau, penilaian itu penting bagi mengenal pasti sejauh mana bantuan yang disalurkan berjaya meningkatkan pendapatan golongan berkenaan selain mengesan kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki.
"Saya nak tahu umpamanya, ambil purata pendapatan penjaja dan peniaga tiga tahun lalu dengan tahun ini. Berapa peningkatannya? Ini cara kita buat penilaian. Apa dia kelemahan dia? Apa kekurangan dia?" katanya.
Perdana Menteri berkata pihaknya masih belum berpuas hati dengan nasib penjaja dan peniaga kecil yang sebahagian besarnya berdepan kehidupan sukar serta memerlukan pendekatan bantuan yang lebih mudah dan praktikal.
"Kalau tanya saya Anwar, orang puas hati ke untuk nasib penjaja? Saya tak puas hati, sebab ini rakyat yang terbanyak dan kehidupan dia susah, dan kata menteri tadi kais pagi makan pagi.
"Kalau nak suruh dia tunggu, nak pergi pejabat isi borang pinjaman satu hari, itu beban kepada dia. Jadi kita kena cari jalan tingkatkan pendapatan dia," katanya.
Beliau menyifatkan penjaja dan peniaga kecil sebagai wira rakyat kerana peranan mereka bukan sahaja menjana pendapatan keluarga, malah membantu menggerakkan ekonomi negara.
"Yang ini, penjaja kecil, peniaga kecil juga, dia wira rakyatlah. Dia tak ada syarikat besar, dia bukan Datuk ke Tan Sri, tapi dia wira rakyat. Dia boleh membantu angkat ekonomi rakyat. Dia jaga keluarga dia dan dia boleh jana ekonomi," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kira-kira 80 hingga 85 peratus rakyat memilih untuk menikmati makanan di gerai dan warung, sekali gus membuktikan kepentingan sektor penjaja dalam kehidupan masyarakat.
Justeru itu, beliau mahu gerai dan warung diberikan perhatian dari segi kebersihan, susun atur serta kemudahan supaya lebih menarik dan selesa kepada pelanggan.
Katanya usaha menaik taraf kawasan gerai turut diberikan perhatian oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala kerajaan Selangor juga digesa meneruskan usaha sama di kawasan seperti Petaling Jaya dan Kajang.
"Sejak jadi Perdana Menteri, empat tahun ini, tiap minggu hari Jumaat, sebelum atau selepas solat Jumaat, saya pergi makan tengah hari di warung dan gerai nak tunjuk bahawa bagus kita sokong gerai dan penjaja-penjaja ini.
"Kadang-kadang lebih sedap daripada restoran-restoran besar. Tapi yang biasanya bukan sedap sahaja, tetapi memang jauh lebih murah," katanya.
Beliau berkata usaha memperkasa penjaja dan peniaga kecil perlu dilaksanakan secara berterusan kerana peningkatan pendapatan golongan itu mampu memberi kesan kepada kesejahteraan kira-kira sejuta keluarga di negara ini.




Comments