Adly kembali Ketua Menteri jika PH menang, calon lain turut disenarai


Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Datuk Seri Adly Zahari akan dinamakan sebagai calon Ketua Menteri sekiranya gabungan itu memperoleh majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat berdasarkan persefahaman dalam gabungan berkenaan meskipun PH mempunyai beberapa calon lain yang boleh dipertimbangkan untuk menerajui kerajaan negeri.
"Setakat ini, Adly calon Ketua Menteri menerusi persefahaman jika kita dapat majoriti atau diberi kepercayaan (dalam PRN Melaka).
"Setakat semalam, masih terlalu awal untuk melihat suasana. Namun, kita yakin kita boleh memberikan saingan sengit kali ini, Insya-Allah," katanya dipetik laporan media tempatan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Kajang hari ini.
Pengumuman itu memberikan gambaran lebih jelas mengenai kepimpinan yang bakal diketengahkan PH untuk menerajui Melaka sekiranya berjaya menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) yang memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN 2021.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan sebelum ini dipilih sebagai Ketua Menteri Melaka selepas Pakatan Harapan berjaya menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum 2018.
Namun kepimpinannya berakhir pada 3 Mac 2020 setelah hilang majoriti susulan Langkah Sheraton apabila Bersatu keluar dari PH selain dua lagi wakil rakyat gabungan itu beralih sokongan.
Tokoh utama yang turut dipertaruhkan pada PRN Melaka kali ini ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin yang bertanding di Paya Rumput.
Bagaimanapun, pengumuman berkaitan poster boy itu dibuat ketika PH sebelum ini mengambil pendekatan tidak mengetengahkan mana-mana pemimpin kerana mahu setiap calon memberikan tumpuan kepada usaha memenangi kerusi masing-masing.
Adly dilaporkan berkata tiada gunanya PH mempunyai poster boy sekiranya pemimpin berkenaan gagal memenangi kerusi yang ditandingi atau mempertahankan kerusi sedia ada.
Pendirian itu turut dijelaskan dalam wawancara bersama portal Malaysiakini pada 31 Oktober lalu, apabila beliau berkata strategi PH kali ini berbeza dengan memberi keutamaan kepada kekuatan calon dan gerak kerja di setiap kawasan.
Sebelum itu, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil pada 19 Oktober memaklumkan Majlis Presiden PH belum membincangkan soal poster boy meskipun mengakui Adly mempunyai pengalaman pentadbiran untuk dipertimbangkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata PH akan mengumumkan manifesto pilihan raya berteraskan gagasan 'Melaka Rumah Kita' dalam tempoh tiga hari lagi bagi menawarkan hala tuju pentadbiran negeri sekiranya diberikan mandat.
Sementara itu di Melaka, Adly dalam sidang media berkata tawaran PH akan memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik, peningkatan pendapatan rakyat, sokongan kepada usahawan kecil, kebajikan pelajar serta bantuan dan akses yang lebih telus.
"Keutamaan kami ialah tentang kediaman yang benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat, pendapatan yang lebih baik, sokongan kepada usahawan kecil, kebajikan pelajar serta bantuan dan akses yang telus," katanya.
Menurut calon DUN Bukit Katil itu, tawaran berkenaan dirangka berdasarkan maklum balas penduduk yang ditemui calon dan jentera parti sepanjang kempen termasuk kesukaran memiliki rumah, kos sara hidup, akses kepada bantuan kebajikan serta peluang pekerjaan dengan kadar gaji setimpal.
Peniaga kecil pula berdepan tekanan kos sewa premis dan kekangan modal yang menyukarkan mereka meneruskan perniagaan, katanya.
Beliau berkata isu kemudahan asas seperti banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan dan penyelenggaraan kemudahan awam turut dibangkitkan penduduk, selain pengurusan Melaka Sentral dan keadaan lokasi pelancongan.
"Ukuran kemajuan mesti sampai ke rumah rakyat dan yang paling penting adalah di meja makan rakyat, bukan sekadar cantik di pentas perasmian," katanya.
Pada PRN kali ini, PH mempertaruhkan 24 calon daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkanmembabitkan 10 calon PKR, tujuh DAP dan tujuh Amanah.
Gabungan itu menyasarkan kemenangan 18 kerusi termasuk mempertahankan lima kerusi yang dimenangi pada PRN 2021.




Comments