Pilihan raya bukan merugikan, PH boleh menang dengan sokongan rakyat Melaka


Pakatan Harapan (PH) menilai tiga faktor utama dalam menentukan peluang gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka iaitu kekuatan jentera, keupayaan calon dan perubahan sokongan rakyat.
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata ketiga-tiga aspek itu menjadi pertimbangan dalam menentukan calon yang diketengahkan serta strategi kempen bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Yang pertama adalah kalau kita lihat memang kita tahu bahawa jentera kita yang akan mengundi adalah antara satu aspek yang cukup penting. Yang kedua adalah keupayaan calon-calon kita," katanya pada sidang media hari ini.
Menurut calon DUN Bukit Katil itu, calon PH terdiri daripada individu dengan latar belakang dan pengalaman berbeza termasuk mereka yang pernah berkhidmat dalam pihak berkuasa tempatan, pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan.
Malah jelas beliau yang juga bekas Ketua Menteri, terdapat juga calon daripada kalangan bekas anggota perkhidmatan awam termasuk veteran tentera.
Kata beliau faktor ketiga ialah perubahan sokongan rakyat yang turut diambil kira dalam menilai kekuatan PH menghadapi persaingan pilihan raya kali ini.
Bagaimanapun, beliau berkata PH tidak mahu hanya bergantung kepada unjuran atau sasaran jumlah kerusi sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mendekati pengundi dan memahami masalah mereka.
"Rakyat itu harus disantuni, masalah mereka harus didengar dan isu-isu mereka harus diangkat. Yang mana boleh diselesaikan dalam tempoh yang terbaik, selesaikan kerana agensi-agensi kerajaan masih berfungsi," katanya.
Adly berkata PH mempunyai tempoh 14 hari berkempen untuk meyakinkan pengundi menerusi tawaran serta rekod perkhidmatan gabungan itu di peringkat negeri dan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau menepis pandangan menyatakan PH tidak perlu memasuki pilihan raya kerana ia merugikan.
Sebaliknya Adly menyatakan sememang PH mahu memanfaatkan pilihan raya bagi merayu kepada rakyat Melaka untuk memberikan sokongan kepada mereka.
Beliau berkata PH hanya mampu memenangi pilihan raya dengan sokongan rakyat Melaka dan tidak boleh menganggap mandat sebagai sesuatu yang boleh diperoleh secara automatik.
"Kita hanya boleh menang dengan sokongan daripada rakyat negeri Melaka," katanya.




Comments