Nilai dakwaan komitmen berlebihan KKDW berdasarkan Hansard Parlimen


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq (gambar) menyifatkan dakwaan berhubung komitmen kewangan berlebihan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu dinilai berdasarkan fakta dan rekod perbahasan di Dewan Rakyat, bukannya kenyataan yang tidak disokong bukti.
Beliau mendakwa, penjelasan Menteri Kewangan II di Dewan Rakyat pada 29 Oktober menunjukkan KKDW berbelanja melebihi peruntukan asal sejak 2023, bukannya berpunca daripada tunggakan tahun-tahun terdahulu seperti didakwa Setiausaha Sulit (SUA) KKDW, Amel Fadzmel.
Menurutnya, angka yang dibentangkan KKDW pada 26 Oktober menunjukkan peruntukan asal bagi tempoh 2023 hingga 2025 berjumlah RM3.98 bilion, sedangkan perbelanjaan mencecah RM6.11 bilion.
"Terlebih belanja RM2.1 bilion dalam tiga tahun. Senang cerita (misalnya) bajet 4, belanja 6.
"Walaupun peruntukan 2025 sudah dinaikkan kepada RM2.27 bilion, ia masih tidak cukup, dengan tunggakan bayaran sebanyak RM1.05 bilion," katanya dalam hantaran di Facebook.
Iman Haziq turut mempersoalkan dakwaan bahawa tiada bukti peruntukan tambahan KKDW diambil daripada kementerian lain.
Katanya, Hansard Dewan Rakyat pada 29 Oktober merekodkan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) sebanyak RM500 juta menerusi Surat Kebenaran Berbelanja Melebihi Peruntukan (SKB), masing-masing RM300 juta pada 1 September dan RM200 juta pada 21 September.
Beliau berkata, peruntukan itu diperoleh daripada penjimatan kementerian lain, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Asli, Kementerian Pelancongan, Kementerian Pertanian, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kementerian Ekonomi.
"Kata Datuk Seri Amir Hamzah: ‘Kita pindahkan daripada kementerian lain untuk menampung SKB itu.’
"SUA itu sepatutnya buat research sikit sebelum menulis ‘sila kemukakan bukti’," katanya.
Beliau berkata, kelulusan projek oleh MOF dan Kementerian Ekonomi tidak bermakna kementerian boleh berbelanja melebihi peruntukan diluluskan.
Katanya, Arahan Perbendaharaan menetapkan tanggungjawab ketua setiausaha kementerian untuk mengawal perbelanjaan supaya tidak melebihi peruntukan, selain memastikan bil dibayar segera.
Mengulas isu penangguhan bayaran, Iman Haziq berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 2 September lalu menjelaskan tiada sekatan dikenakan dan peruntukan jalan luar bandar KKDW telah disalurkan sepenuhnya.
Menurutnya, masalah pembayaran timbul apabila peruntukan tahun ini hampir habis dibelanjakan pada ketika itu.
Beliau berkata, penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) bagi projek baharu dibuat sementara tunggakan sedia ada diselesaikan, bagi mengutamakan pembayaran kepada kontraktor yang sudah menyiapkan kerja.
"Logiknya mudah: bayar dulu kontraktor yang sudah siapkan kerja, termasuk kontraktor kecil dan kontraktor Bumiputera yang beliau sebut, baru beri kerja baharu," katanya.
Mengulas dakwaan 40 projek dibatalkan proses tender dan 87 projek ditangguhkan pengeluaran SST, beliau berkata, kedua-dua perkara itu perlu dibezakan kerana projek yang tendernya dibatalkan belum mempunyai kontraktor, manakala projek yang belum dikeluarkan SST bermakna kontraktor belum dilantik.
Katanya, Menteri Kewangan II turut menegaskan di Dewan Rakyat bahawa dakwaan MOF membatalkan projek adalah tidak benar.
Dalam pada itu, beliau mendakwa pengurangan peruntukan beberapa program KKDW bagi menampung perbelanjaan jalan luar bandar pada 2023 dibuat oleh kementerian itu sendiri, bukannya atas arahan MOF.
Antara peruntukan yang dikurangkan, katanya, membabitkan program KEMAS, JAKOA, MARA serta bekalan elektrik dan air luar bandar.
"Dalam kenyataan yang sama, beliau tulis KKDW ‘terpaksa mengorbankan’ program lain, termasuk RM200 juta untuk membina dan membaiki rumah golongan miskin dan Orang Asli.
"Yang pindahkan duit itu, KKDW sendiri. Itulah akibat apabila KKDW berbelanja lebih daripada bajet. Bukan arahan MOF," katanya.
Iman Haziq turut mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dijadikan bahan kempen pilihan raya dengan mengetepikan fakta yang telah dijelaskan di Dewan Rakyat.
Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa pembangunan jalan luar bandar perlu diteruskan dan kontraktor yang telah melaksanakan kerja mesti dibayar.
"Saya juga sudah tentu bersetuju bahawa jalan luar bandar harus dibina dan kontraktor mesti dibayar. Tapi setiap perkara ada had, termasuk perbelanjaan.
"KKDW dan MOF harus berbincang baik-baik supaya perkara ini dapat diselesaikan untuk kepentingan semua," katanya.




Comments